warga asing membanjiri  Jalan Silang di tengah-tengah ibu kota.
warga asing membanjiri Jalan Silang di tengah-tengah ibu kota.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Peluang cuti sempena sambutan Aidilfitri digunakan sepenuhnya oleh ribuan warga asing dengan berkumpul di kawasan tumpuan.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Pasar Seni, Jalan Petaling, Lebuh Pasar dan Jalan Tun Tan Siew Sin atau Jalan Silang mendapati warga asing khususnya dari Bangladesh, Nepal dan Pakistan membanjiri kawasan berkenaan untuk bertemu rakan dan membeli barang keperluan harian.

Seorang buruh binaan dari Bangladesh, Khairul Islam, 27, berkata, dia yang tidak dapat menyambut Aidilfitri di kampung halaman hanya menggunakan peluang cuti untuk berkumpul bersama rakan di ibu kota.

“Itu saja yang dapat menggembirakan hati. Berkumpul bersama rakan lain yang menyambut Aidilfitri sudah cukup buat kami.

“Lagipun, saya hanya dapat dua hari cuti dan tidak salah masa itu saya peruntukkan bersama rakan,” katanya.

Kehadiran ribuan warga asing di ibu kota ketika ramai warganya pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya sememangnya satu kebiasaan sehingga menukar wajah Kuala Lumpur menjadi Dhaka serta Kathmandu yang berselang-seli dengan Bandung.

Malah, kebanjiran mereka membuatkan jalan sekitar menjadi sesak sepanjang 100 meter selain ada warga asing turut mempamerkan watak dan perangai seolah-olah mereka berada di negara sendiri.

Peniaga gerai air, Ahmad Roslan, 42, berkata, suasana sebegitu acapkali dilihat setiap kali cuti umum dan musim perayaan.

Menurutnya, ramai warga tempatan mengelak melalui lokasi itu berikutan rasa kurang senang selain bimbangkan keselamatan diri.

“Rata-rata warga asing yang berkumpul itu lelaki. Ini menyebabkan wanita tempatan berasa tidak selesa apabila diperhatikan.

“Namun perniagaan saya menjadi laris apabila ramai daripada mereka membeli air,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mansur, 52, berkata, kehadiran ramai warga asing itu dianggap ‘lubuk’ rezeki kepadanya ketika musim perayaan.

“Ini saja masa yang saya gunakan untuk mendapat pendapatan lebih kerana dalam tempoh hanya satu jam, pendapatan diperoleh lebih banyak daripada hari biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 9:50 AM