Fuad Hadinata Yaacob

[email protected]

Shah Alam: Akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST) menyambut tahun baru 2017 dengan menampilkan wajah baru dan terkini.

Akhbar NST turut mengetengahkan susun atur baru selain isi kandungan yang terus menjanjikan bahan menyeluruh serta eksklusif.

Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Abd Jalil Hamid berkata, wajah baru itu bukan sekadar berkaitan susun atur semata-mata namun turut membabitkan penambahbaikan secara besar-besaran

Menurutnya, ia juga adalah tanda aras perubahan kepada strategi digital yang didahulukan.

“Ia juga bermakna perubahan dalam cara kami bekerja dan mengolah bahan. Kami juga sedang meningkatkan produk digital termasuk video berita dan media sosial selain menambah lebih ramai pengarang serta petugas digital.

“NST baru ini mengetengahkan ‘masthead’ baru dan reka bentuk huruf segar yang juga sebahagian daripada transformasi bilik berita untuk menangani perubahan drastik tabiat pembaca dan landskap pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sin,i semalam.

Begitupun Abd Jalil berkata, versi cetaknya akan terus menjadi komponen penting berikutan aliran pulangan pengiklanan dan pengedaran.

Sementara itu, cetakan akhbar New Sunday Times baru di Loji Percetakan Balai Berita Shah Alam (BBSA) di sini malam tadi turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah; Abd Jalil serta Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Yushaimi Maulud Yahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:35 AM