PENGARANG Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (lima dari kiri) dan Mustapha Kamil (dua dari kiri) melihat akhbar NST sempena sambutan ulang tahun ke-170 NST di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
PENGARANG Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (lima dari kiri) dan Mustapha Kamil (dua dari kiri) melihat akhbar NST sempena sambutan ulang tahun ke-170 NST di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Sempena 170 tahun usia New Straits Times (NST), kini tiba masanya kami memberikan penampilan dan nafas baru ke atas akhbar ini untuk pembaca di luar sana,” kata Pengarang Kumpulan NST Mustapha Kamil Mohd Janor.

Beliau berkata, wajah baru itu bukan sekadar perubahan luaran, tetapi membabitkan kandungan untuk kepuasan orang ramai memperoleh maklumat yang terkini.

Katanya lagi, kali ini akhbar berbahasa Inggeris itu mahu menampilkan kelainan yang melangkaui tradisi penyampaian berita mereka selama ini.

“Saya akui bukan mudah melaksanakan perubahan lebih-lebih lagi kita mahu menampilkan sesuatu yang berbeza dengan tradisi NST.

“Tetapi kami tiada pilihan kerana untuk akhbar ini terus bersaing dan relevan dalam menyampaikan berita kepada masyarakat, perubahan mesti dilakukan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian sempena pelancaran wajah baru akhbar terbitan Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad itu sempena sambutan ulang tahun ke-170.

Wajah baru akhbar itu akan menemui pembaca hari ini dalam versi hujung minggu, New Sunday Times.

Ia diikuti NST versi harian pada hari berikutnya.

NST adalah akhbar paling tua di negara ini sejak ia mula dicetak pada 1845 dikenali sebagai The Straits Times.

Pada 1974, akhbar itu mula dikenali sebagai NST yang kemudian diterbitkan dalam versi tabloid dengan cetakan pertama pada 1 September 2004 dan sejak 18 April 2005 ia kekal dengan penampilan versi berkenaan.

Mustapha Kamil berkata, perbezaan NST kali ini menampilkan laporan eksklusif dan analisis hal ehwal semasa yang terkini.

Katanya, bagi laporan berita semasa pula, pembaca boleh membacanya secara dalam talian di laman www nst.com.my.

“Dalam dunia serba baru ini, kita tidak dapat lari dari menyampaikan berita secara dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:09 AM