Maiamalina Mohamed Amin dan Nor 'Asyikin Mat Hayin


LEBIH 400 gambar nostalgia dan edisi muka depan akhbar dipamerkan dalam Pameran Foto Eksklusif Traversing 175 yang mengetengahkan pencapaian Malaysia sejak awal abad ke-19.

Pameran sempena ulang tahun ke-175 akhbar New Straits Times (NST) itu dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Galeri Media Prima, Balai Berita Bangsar, di Kuala Lumpur, malam ini.

Muhyiddin pada program sama turut melancarkan perkhidmatan portal arkib KLIK-NSTP.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial MPB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim, The New Straits Times Press (M) Berhad Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan NST Ahmad, Lokman Mansor dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Saidon Idris.

Sementara itu, Dr Syed Hussian dalam ucapannya berkata, NST kini menjadi akhbar berbahasa Inggeris tertua yang masih dicetak bukan saja di Malaysia tetapi juga Asia Timur.

"Bagi mengingati sejarah penubuhannya, kami mengadakan Pameran Foto Eksklusif bertemakan Traversing 175.

MUHYIDDIN melihat akhbar New Akhbar New Straits Times pada Majlis Pelancaran Pameran Ulang Tahun Akhbar New Straits Times Times ke-175 diiringi Dr Syed Hussian dan Iskandar Mizal (empat kiri).
MUHYIDDIN melihat akhbar New Akhbar New Straits Times pada Majlis Pelancaran Pameran Ulang Tahun Akhbar New Straits Times Times ke-175 diiringi Dr Syed Hussian dan Iskandar Mizal (empat kiri).

"Pameran ini mempamerkan pelbagai koleksi gambar dan berita yang diterbitkan NST adalah bukti bahawa NSTP akan sentiasa bersama rakyat Malaysia dalam memberikan liputan terbaik.

"Malah melaporkan berita dan gambar yang kini sudah menjadi sebahagian daripada NST yang akan tetap diukir dalam sejarah negara," katanya.

Untuk rekod, pameran itu bermula 15 Julai hingga 10 Ogos ini.

Ia membawa pengunjung menghayati sejarah yang merangkumi perjuangan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan, memenuhi keperluan negara selepas merdeka, pencapaian dan kemajuan dicapai negara serta rakyat.

Manakala perkhidmatan Portal Arkib KLIK-NSTP pula menyimpan lebih 50 juta simpanan arkib NSTP iaitu koleksi terpilih seperti gambar, akhbar lama, filem mikro dan bahan digital penting yang kini dikongsikan menerusi sistem KLIK.

Dikenali sebagai 'New Image Bank' yang mula beroperasi pada 2010, portal arkib digital KLIK dinaik taraf dengan kapasiti dan fungsi lebih baik.

KLIK menyimpan dan menggabungkan pelbagai jenis kandungan termasuk halaman surat khabar, teks, foto, audio dan video.

Ia turut menggunakan sistem lebih canggih dikenali TARK4 yang mengumpulkan semua aset di bawah pengurusan sistem bersepadu dan lebih mesra pengguna.

Sistem ini boleh dilayari menerusi laman sesawang www.klik.com.my dan sudah dilayari pengguna sejak 22 Julai 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:01 PM