Raja Zarith Sofiah (dua dari kiri) menyerahkan anugerah kepada Hazlina disaksikan Zambry (dua dari kanan).
Raja Zarith Sofiah (dua dari kiri) menyerahkan anugerah kepada Hazlina disaksikan Zambry (dua dari kanan).
myMetro

Ipoh: Dedikasi akhbar New Straits Times (NST) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) memberi pendidikan Bahasa Inggeris kepada masyarakat menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Raja Zarith Sofea.

Anugerah disampaikan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah kepada Pengarang Pendidikan Bahasa Inggeris NST, Hazlina Abdul Aziz pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa ke-25 Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA), di sini, semalam.

Naib Presiden MELTA Aslam Khan berkata, anugerah diberikan kepada NST berikutan usaha organisasi itu meningkatkan taraf pendidikan Bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat.

Katanya, NST turut menyumbang ke arah kemajuan bahasa kedua negara ini dengan menyediakan bantuan kewangan untuk pendidikan.

“NST mempromosi Bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menganjurkan pelbagai program termasuk Program NST Outreached, RHB-NST National Spell-It-Right Challenge dan bengkel kreatif,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian berkenaan.

Hadir mengiringi Raja Zarith Sofia ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu, Presiden MELTA Prof Madya Dr S Ganakumaran berkata, sebanyak 25 negara menyertai persidangan kali ke-25 itu yang pertama kali diadakan di negeri ini.

“Program ini membuka peluang kepada peserta membina rangkaian sekali gus memberi manfaat kepada negeri.

“Di samping itu, peserta turut mendapat manfaat mempelajari metodologi yang kreatif untuk belajar dan mengajar Bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 9:07 AM