KUCING betina yang berjaya dikeluarkan.
KUCING betina yang berjaya dikeluarkan.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Hayat seekor kucing peliharaan sebuah keluarga masih panjang apabila diselamatkan pihak bomba selepas terperangkap hampir 24 jam dalam saluran paip di kediaman keluarga terbabit di Jalan Kapar, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kucing jenis siam terbabit dikatakan masuk ke saluran paip di kawasan garaj kereta sejak kelmarin, namun gagal keluar.

Menyedari kucing betina berusia lapan bulan itu tersangkut di saluran terbabit, keluarga berkenaan menghubungi pihak bomba bagi mengeluarkan haiwan itu yang kesakitan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga berkenaan pada jam 12.55 tengah hari dan tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi lima minit kemudian, kami mendapati seekor anak kucing terperangkap dalam saluran paip dari rumah ke longkang di hadapan rumah teres milik keluarga berkenaan.

“Difahamkan kucing itu masuk dalam saluran berkenaan, namun gagal keluar. Haiwan itu tidak boleh ke depan atau belakang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, pihaknya mengambil keputusan memecahkan simen di bahagian garaj menggunakan alat yang dibawa sebelum mengeluarkan kucing itu dan operasi tamat selepas kira-kira 20 minit.

“Kucing itu terperangkap sejak semalam (kelmarin), namun usaha keluarga berkenaan untuk mengeluarkannya gagal sebelum menghubungi pihak kami untuk menyelamatkannya.

“Jika lambat dikeluarkan mungkin kucing itu mati dalam saluran berkenaan kerana ketika dikeluarkan haiwan itu berada dalam keadaan lemah,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 6:48 AM