MAYAT Mohd Azwan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
MAYAT Mohd Azwan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Tumpat: Hasrat seorang lelaki yang mahu menyaksikan orang ramai memancing tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas di Sungai Kelantan di Kampung Kutan Sungai, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Azwan Harun, 36, ditemui pada jam 11.45 pagi terapung di dalam sungai di lokasi dia terjatuh, jam 5 petang kelmarin.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Tengah.

Sepupu mangsa, Siti Fadilah Che Kob @ Yaakob, 38, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa mangsa jam 11 malam kelmarin selepas mangsa tidak pulang ke rumah.

“Dia pergi ke sungai bersama rakannya pada jam 5 petang kelmarin untuk melihat orang memancing. Bagaimanapun, selepas mendapati tiada orang memancing dia hanya berbual dengan rakannya di tebing sungai berkenaan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia mengalami kekejangan otot sebelum rebah ke tanah dan terjatuh ke dalam sungai.

“Rakannya itu memaklumkan kejadian berkenaan kepada penduduk kampung dan usaha mencarinya dijalankan di kawasan sekitar namun gagal sebelum memaklumkan kepada bomba,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kutan Tengah, semalam.

Menurutnya, hubungannya dengan arwah sangat rapat sejak dari kecil lagi.

“Arwah yang bekerja sebagai tukang cat juga menjaga adik bongsunya, Mohd Azizul, 31, yang mengalami Sindrom Down.

“Pemergiannya amat kami rasai namun reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.27 malam kelmarin.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Tumpat dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian .

“Kita turut dibantu sepasukan polis dan 50 penduduk kampung yang menemui mangsa di lokasi dia terjatuh jam 11.45 pagi tadi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 10:59 AM