GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dilaksanakan kerajaan menerima pembabitan beberapa pakar ekonomi, sosial dan kesihatan dalam usaha membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 secara sistematik dan selamat.

Antara pakar terbabit adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Anthony Fernandes, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Michael Kang, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Datuk Dr Hartini Zainuddin dan Dr Sivakumar Thurairajasingam.

Selain itu, MPN juga menjemput wakil kerajaan negeri Sabah serta Sarawak untuk menganggotai majlis berkenaan.

Ia selaras pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan whole-of-nation.

1. Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar

Bekas Pengarah Urusan Khazanah dari Jun 2004 hingga Julai 2018 ini mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta.

Beliau pernah menerajui beberapa program negara termasuk program transfromasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pembangunan Iskandar Malaysia, penyusunan semula syarikat dan menjadikan Khazanah sebagai syarikat dana pelaburan negara terkemuka.

Dalam pada itu, beliau mempengerusikan beberapa entiti termasuk Axiata Group Berhad, IHH Berhad, Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah dan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Selepas bersara dari Khazanah, beliau dilantik menjadi Felo Pelawat Terhormat di Pusat Pengajian Pembangunan, Universiti Cambridge, Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ahli Lembaga Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Ahli Lembaga Pengarah Mercy Malaysia dan ahli Global Future Council Forum Ekonomi Dunia.

2. Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop

Beliau pernah menjadi Menteri Kewangan II dari Januari 2004 hingga April 2009 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Mei 2009 hingga Mei 2013, selain pernah berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dari Mei 2000 hingga 2003.

Antara pencapaian tertinggi beliau adalah membantu Perdana Menteri menangani isu Krisis Kewangan Asia 1997/1998.

Beliau juga pernah bersama Bank Pusat Malaysia dari 1968 hingga 1994 dan sekali lagi pada September 1998 hingga April 2000. Beliau memainkan peranan penting dalam pengembangan kewangan Islam di Malaysia termasuk sistem pajak gadai Islam (Al-Rahnu) selain bertanggungjawab dalam penubuhan Suruhanjaya Sekuriti dan Rating Agency Malaysia (RAM).

3. Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes

Usahawan paling dikenali dengan perjalanan udara domestik di rantau ini. Beliau bersama Datuk Kamarudin Meranun, Datuk Pahamin Ab Rajab dan Datuk Abdul Aziz Abu Bakar berjaya meletakkan AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia.

Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia tahun lalu, beliau membuat revolusi dari syarikat penerbangan kepada syarikat perniagaan digital yang memberi tumpuan kepada perjalanan, gaya hidup, logistik dan teknologi kewangan.

Bekas penuntut dari United Kingdom (UK) dan Ahli Bersekutu Persatuan Akauntan Bertauliah pada 1991, beliau memulakan kerjaya di Virgin Group sebelum kembali ke Malaysia sebagai Naib Presiden Wilayah Asia Tenggara Selatan bagi Kumpulan Warner Music sebelum menceburkan diri dalam perniagaan syarikat penerbangan.

Beliau menerima pelbagai penghargaan sepanjang kariernya termasuk Honour of the Commander of the Order of the British Empire, yang dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II pada 2011 dan Commander of the Legion d'Honneur yang dianugerahkan oleh kerajaan Perancis.

4. Pengasas Yayasan Chow Kit dan Pengarah Yayasan Siti Sapura Husin, Dr Hartini Zainudin

Aktivis hak asasi kanak-kanak yang kini menjadi perunding dan pakar strategi kepada organisasi kemanusiaan tempatan dalam mengembleng sumber dan pengumpulan dana.

Beliau juga wakil Malaysia bagi Tindakan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) selain pernah bekerja di Asia School of Business dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Siti Sapura Husin.

Beliau juga pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Naib Presiden Voice of the Children, anggota Majlis Penasihat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selain terbabit dengan United States Immigration and Customs Enforcement (ICE) dalam isu penjualan bayi serta pemerdagangan kanak-kanak.

5. Profesor Psikiatri dan Perubatan Psikologi Universiti Monash, Prof Dr Sivakumar Thurairajasingam

Berkelulusan Sarjana Perubatan dalam Psikiatri dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2002 ini berpengetahuan luas dalam perubatan psikiatri selama lebih 15 tahun.

Beliau pakar dalam wawancara motivasi (MI) dan terapi tingkah laku kognitif (CBT) selain menjalankan penyelidikan rawatan psikiatri, penyelidikan dadah serta alkohol.

6. Penasihat Kumpulan Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai

Rakyat Malaysia pertama terpilih ke Forum Pengarang Dunia yang berpusat di Paris ini berpengalaman selama 36 tahun dalam industri media dan kini mengendalikan program podcast yang popular sebagai sebahagian inisiatif kewartawanan media sosialnya.

Bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga memulakan kerjaya dari bawah sebagai seorang wartawan kadet dan menjadi ketua pengarang kumpulan termuda sebelum dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif serta pengarah eksekutif kumpulan.

Beliau juga menyelesaikan beberapa program pembangunan kewangan dan kepemimpinan di beberapa universiti Amerika dan kini menjadi profesor tambahan di UKM.

7. Presiden Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang

Beliau menyandang jawatan sebagai Presiden PKS Malaysia sejak 2015 selain dilantik sebagai pengarah SMB Solutions Management Sdn Bhd dan SMB Connection Sdn Bhd, beberapa syarikat yang terbabit dalam perniagaan ICT dan perkhidmatan perundingan sejak 1992.

Beliau melancarkan perkhidmatan komuniti PKS sejak menyertai persatuan itu pada 1998.

Dengan pengalaman 20 tahun dalam komuniti PKS dan pendorong utama sektor PKS Malaysia, beliau mengembangkan landskap PKS dan mendorong pemilik perniagaan untuk mengubah perniagaan mereka menjadi seperti perniagaan antarabangsa.

Beliau adalah anggota Jawatankuasa Pengawasan untuk Duti Eksais di bawah Kementerian Kewangan, yang mana beliau menjadi perantara antara PKS dan pihak berkaitan.

8. Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Senior Fellow Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr Habibah Abdul Rahim

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia dari Januari 2020 sehingga April 2021 ini berpengalaman dalam dunia pendidikan selama lebih 34 tahun.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan dasar, perancangan makro, pelaksanaan dan penilaian program.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam pengembangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Prasekolah hingga Pasca Menengah Pendidikan).

9. Profesor Perubatan dan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman

Beliau adalah Profesor Madya Bersekutu Universiti Yale, Amerika Syarikat dan Pengerusi kepada badan pengumpulan dana bagi program berkaitan penyakit berjangkit HIV iaitu Yayasan Aids Malaysia serta Presiden Komuniti Aids Antarabangsa (IAS).

Pengerusi Pasukan Petugas Perubatan Covid-19 UM itu juga berperanan sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ahli panel pakar saintifik UNAIDS dan penasihat kepada pelbagai jawatankuasa di bawah WHO.

Pencapaiannya diakui melalui beberapa anugerah kebangsaan dan antarabangsa termasuk gelaran doktor undang-undang kehormat dari universiti pengajiannya, Universiti Monash Australia atas sumbangan dalam bidang perubatan serta kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:10 AM