Telekom Malaysia Bhd (TM) mengesahkan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (gambar) sebagai pengerusinya yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Dr Halim Shafie yang yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sulaiman, 66, sebelum ini mempengerusikan beberapa agensi termasuk Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, mengalu-alukan Sulaiman sebagai Pengerusi baru TM dan mengharapkan kepimpinan beliau berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya yang luas.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Halim atas sumbangan besar beliau kepada TM selepas sekian lama berkecimpung dalam industri telekomunikasi," katanya.

Sepanjang tempoh kepimpinan Halim, TM mencatatkan pelbagai pencapaian penting termasuk kejayaan pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) serta pengenalan UniFi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM