Zulkifli bersama motosikal lama bapanya yang diubah suai.
Zulkifli bersama motosikal lama bapanya yang diubah suai.

Sitiawan: Ramai ada yang memperlekehkan usahanya itu dan mendakwa ia satu perkara yang sia-sia, namun seorang mekanik tidak mudah berputus asa dan meneruskan usaha membaiki sebuah motosikal lama jenis Honda C70.

Kreativiti dan kebolehan Zulkifli Ismail, 38, mengubah suai sebuah motosikal buruk kepada bentuk klasik versi moden menjadi tumpuan ramai penduduk sekitar.

Zulkifli yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang permotoran dan mempunyai bengkel motosikal iaitu Zulkifli Ismail Motor Enterprise (ZIME), tidak menyangka hasil kreatifnya itu menarik tumpuan penduduk kampung dan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, motosikal ‘kapcai’ itu berusia lebih 50 tahun adalah milik bapanya, Ismail Ali, 72, dan digunakan keluarganya sejak Zulkifli kanak-kanak lagi.

“Bila terpandang motosikal tersadai di dalam bengkel, saya teringat kembali kenangan zaman kanak-kanak ketika abah membawa kami menaiki motosikal mengelilingi kampung.

“Daripada situ idea membaiki dan mengubah suai motosikal lama ini timbul, namun ada segelintir yang menganggap usaha saya itu hanya sia-sia kerana motosikal ini sudah terlalu lama dan banyak barang yang perlu diganti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 9 Lekir, di sini.

Menurutnya, dia melaburkan modal hampir RM3,000 untuk membaiki dan mengubah motosikal yang sudah rosak sepenuhnya itu.

“Saya mahu lihat motosikal lama ini lain daripada yang lain dan sebab itu, saya menggunakan tayar motosikal jenis ‘superbike’. Alat ganti ada yang dibeli baru dan menggunakan barang lama yang ada di bengkel.

“Saya mulakan usaha awal tahun ini dan jentera ini masih belum siap sepenuhnya. Walaupun mempunyai tayar yang besar, motosikal ini masih selesa dan seimbang ditunggang.

“Saya berpuas hati dapat mengubah suai motosikal ini biarpun saya hanya mekanik biasa namun berjaya membuktikan kebolehan dengan cara sendiri dan keyakinan diri,” katanya.

Menurutnya, motosikal itu menjadi tumpuan penduduk kampung dan pengguna jalan raya lain sehingga ada yang menawarkan lebih RM4,000 untuk membeli motosikalnya itu.

Katanya, jiwanya yang masih segar sebagai ‘mat motor’ memberikan kepuasan apabila melihat motosikal usang itu berubah menjadi seperti dulu yang boleh ditunggang semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 7:03 AM