Fardy Bungga


Sydney: Pesawat penerbangan Malaysia MH370 dipercayai menjunam ke Lautan Hindi tanpa dikawal sesiapa berdasarkan analisis terbaru.

Menurutnya, agensi berita AP, laporan teknikal dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) itu menyokong teori penyiasat berhubung insiden malang pesawat Boeing 777 berkenaan.

Pengarah Biro Operasi Mencari Pesawat MH370 Peter Foley berkata, analisis terbaru data satelit itu selaras dengan ketinggian dan kadar penurunan pesawat di saat akhir sebelum terhempas.

Katanya, analisis terhadap flaperon yang terdampar di Tanzania juga menunjukkan ia mungkin tidak digunakan ketika terpisah daripada pesawat kerana kebiasaannya juruterbang menetapkan alat itu untuk pendaratan.

“Ia hampir pasti menolak teori pesawat itu dikawal memasuki air dan pasukan pencari berada di kawasan yang tepat dalam usaha mencari bangkai pesawat ini.

“Anda boleh membuat kesimpulan sama ada ini bermakna seseorang mengawal pesawat tetapi tidak boleh seratus peratus. Kami amat keberatan menyatakan kepastian mutlak,” katanya di Canberra, semalam

Laporan itu dikeluarkan pada sidang kemuncak persidangan pasukan pakar antarabangsa dan Australia di Canberra untuk memeriksa semula data berkaitan pencarian pesawat yang hilang ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac 2014.

Setakat ini lebih 20 serpihan ditemui di beberapa pantai di Lautan Hindi namun usaha pencarian di dasar laut masih gagal menemui pesawat berkenaan.

Pasukan pakar dijangka melengkapkan pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi awal tahun depan dan setakat ini mereka masih belum membuat pengumuman sama ada mahu meneruskan misi pencarian berkenaan.

Menteri Pengangkutan Australia Darren Chester berkata, persidangan itu akan membincangkan mengenai garis panduan untuk operasi pencarian di masa hadapan.

Katanya, pakar cuba mengenal pasti kawasan pencarian baru dengan meneliti lokasi pertama serpihan pesawat itu ditemui di Lautan Hindi.

“Sayap flaperon itu berkemungkinan besar hanyut selepas pesawat terhempas. Oleh itu, beberapa replika flaperon itu dibiarkan hanyut untuk melihat sama ada angin atau arus yang memberi kesan kepada serpihan ini bergerak merentasi air,” katanya.

Keputusan awal analisis yang didedahkan dalam laporan itu mencadangkan serpihan mungkin berasal di kawasan pencarian ketika ini atau ke arah utara.

Biro pengangkutan menegaskan analisis ini akan dilakukan secara berterusan dan hasilnya mungkin perlu ditapis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 10:22 AM