DR Norhidayah melakukan demonstrasi penurapan jalan, semalam.
DR Norhidayah melakukan demonstrasi penurapan jalan, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Sekumpulan penyelidik Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang melengkapkan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendapatkan formula penyelesaian terhadap masalah jalan mudah rosak.

Pensyarah Kanan Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan Dr Norhidayah Abdul Hassan berkata, usaha itu termasuk penggunaan campuran asfalt panas dan sejuk selain mengitar semula tar jalan yang dikorek serta penggunaan serbuk bersaiz nano.

“Biasanya, kaedah konvensional hanya menggunakan bahan asfalt sejuk saja, namun melalui R&D yang dijalankan, kami berjaya menemui kaedah yang lebih mudah, cepat dan berkesan bagi menurap jalan yang lebih kuat daya ketahanannya.

“Jika berjaya, kami merancang untuk memperluaskan kaedah ini di luar kampus dengan kerjasama pihak tertentu bagi memastikan tar jalan lebih berkualiti dapat dihasilkan,” katanya pada sidang media pada program ‘Jom Patching Jalan’ di UTM semalam.

Terdahulu 50 pelajar dan kakitangan akademik dari Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan FKA, UTM mengambil inisiatif menampal lebih 50 jalan berlubang di sekitar kawasan kampus UTM Skudai, di sini, semalam.

Inisiatif dilaksanakan pertama kali itu bagi menjayakan program ‘Jom Patching’ Jalan membabitkan kerjasama staf akademik, penyelidik dan pelajar.

Beliau berharap kajian kaedah terbaik mengatasi masalah jalan mudah rosak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Norhidayah berkata, kaedah berkenaan membantu universiti menjimatkan kos penyelenggaraan jalan yang dianggarkan mencecah RM20,000 setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:39 AM