GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan penstrukturan semula entiti akademik bagi kelestarian bidang tujahan universiti berkuatkuasa hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM, penstrukturan itu membabitkan dua entiti utama, iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Azman Hashim International Business School.

Katanya, kelestarian bidang ini adalah untuk memastikan keutuhan kepakaran mampu membangun bakat universiti yang holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.

"Pada masa yang sama penstrukturan ini menyokong Pelan Strategik enVision UTM 2025. UTM melalui kelulusan Senat Universiti dan Lembaga Pengarah Universiti meluluskan penstrukturan semula dua entiti akademiknya berkuat kuasa hari ini.

"Penstrukturan semula entiti akademik baharu ini, tidak akan menjejaskan pelaksanaan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mahupun aktiviti penyelidikan pelajar. UTM juga optimistik dengan penstrukturan ini yang akan memposisikan universiti sebagai institusi unggul dan tersohor berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan di peringkat global, "katanya.

Menurut kenyataan itu, penstrukturan semula Fakulti Kejuruteraan membabitkan Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) yang kini dikenali sebagai Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (SKA) kini Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) kini Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM).

Turut terbabit Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (SKT) kini Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Sekolah Komputeran (SK) kini Fakulti Komputeran (FK), manakala Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK) distruktur semula sebagai sebuah jabatan di bawah Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).

"Bagi penstrukturan semula Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) dan penubuhan Fakulti Pengurusan UTM pula membabitkan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS KL), UTM Kuala Lumpur dikekalkan.

"Manakala Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS JB), UTM Johor Bahru kini dikenali sebagai Fakulti Pengurusan (FP).

"Bermula hari ini, senarai penuh Fakulti di UTM di Johor Bahru adalah Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Fakulti Komputeran (FC), Fakulti Sains (FS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) serta Fakulti Pengurusan (FP).

"Manakala bagi senarai penuh fakulti di UTM Kuala Lumpur pula ialah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Malaysian-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Azman Hasim International Business School (AHIBS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 10:59 AM