Mohamad Ashyiq Haqimi dan Natrah Laili Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan program Jom Infaq untuk mengumpul dana bagi pengubahsuaian surau dan membina ruang solat di dewan bedah hospital itu.

Pengarah HCTM Prof Datuk Dr Razman Jarmin berkata, melalui inisiatif itu, pihaknya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.2 juta bagi pengubahsuaian Surau Ibnu Sina di hospital berkenaan, selain dana RM40,000 lagi untuk pembinaan ruang solat di dewan bedah.

"Surau di hospital ini perlu dibesarkan kerana ruangnya sempit dan mengakibatkan kesesakan sekiranya tiba waktu solat.

"Selain membesarkan surau sedia ada, ruang solat berdekatan dengan dewan bedah amat diperlukan kerana jarak di antara dewan bedah dan surau agak jauh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran program itu bersempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Razman berkata, dana daripada program itu juga akan digunakan untuk membantu kebajikan golongan asnaf dalam kalangan kakitangan Kampus Kuala Lumpur UKM.

Dr Razman menyumbang ke Tabung Infaq sambil diperhatikan Pengarah Pusat Islam UKM, Dr Wan Haslan Khairuddin dan Ketua Pusat Islam Kampus Kuala Lumpur, Prof Dr Rohaizak Muhammad ketika majlis perasmian Program ‘Jom Infaq’ Pusat Islam Kampus Kuala Lumpur (PIKKL) di Auditorium, HCTM, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 5:09 PM