Zarina dan  Abdul Kudhus melayani Fatimah di rumah mereka di Taman Bestari Indah, Johor Bahru.
Zarina dan Abdul Kudhus melayani Fatimah di rumah mereka di Taman Bestari Indah, Johor Bahru.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: “Pada usia 40-an, saya membuang rasa malu untuk kembali masuk ke bilik darjah kerana perlu menemani anak istimewa saya,” kata Zarina Rani, 43, ibu Fatimah Abdul Kudhus yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Wangsa, Ulu Tiram, di sini.

Ibu lapan cahaya mata itu berkata, berbanding kebanyakan anak orang kurang upaya (OKU) yang belajar di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), dia mengambil keputusan mendaftar anaknya ke SK Puteri Wangsa.

Menurutnya, dia yakin susuk tubuh anaknya yang menyamai kanak-kanak berusia dua tahun itu bukan halangan menuntut ilmu seperti kanak-kanak normal kerana memiliki keupayaan mental mengikut peningkatan usia.

Katanya, bagi tujuan itu, dia juga bersedia menyahut cabaran kembali ‘bersekolah’.

“Saya perlu hadir ke sekolah setiap hari bersama Fatimah dan bersyukur kerana pengurusan sekolah memberi kebenaran berbuat demikian menyedari Fatimah pesakit jantung, masalah hati, tulang belakang dan buah pinggang.

“Ketika sesi persekolahan bermula Januari lalu, rakan sekelas anak sangka saya guru mereka tetapi kini mereka anggap saya sebahagian daripada mereka di dalam darjah,” katanya.

Zarina berkata, sama seperti anak, dia juga kini memiliki rakan dalam kalangan kumpulan murid sekolah selain warga pendidik.

Menurutnya, tidak dinafikan kadang-kadang dia juga menjadi rujukan segelintir rakan kelas anaknya ketika waktu rehat bagi mengatasi kekeliruan dalam pelajaran.

“Setiap hari, saya bersekolah selama hampir enam jam bersama Fatimah. Saya membawanya menaiki motosikal yang diletakkan dalam bakul khas ke sekolah.

“Di dalam kelas, saya duduk di kerusi belakang kerana saya mahu Fatimah bergaul dengan rakannya, lebih yakin dan membolehkannya berdikari,” katanya.

Menurutnya, dia juga mahu jadi contoh bagi Fatimah dan murid kelas lain supaya fokus ketika guru mengajar termasuk membawa buku nota bagi membuat catatan.

Katanya, ia memudahkannya membantu Fatimah menyiapkan kerja sekolah.

“Kehadiran saya membuatkan Fatimah lebih selesa memandangkan dia perlu minum susu khas yang disyorkan doktor empat jam sekali, selain mengambil 13 jenis ubat menggunakan tiub di hidungnya.

“Saya juga membawa bekalan makanan yang disukainya seperti kentang goreng, nuget dan air suam.

“Alhamdullilah...pada peperiksaan pertengahan tahun, Fatimah di kedudukan keempat dalam kelasnya,” katanya.

Berkongsi cerita penderitaan Fatimah, Zarina berkata, anaknya disahkan mengalami masalah tumbesaran sejak usia setahun setengah di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menurutnya, Fatimah juga dinasihatkan menjalani rawatan dialisis peritoneum (PD) di rumah, namun atas faktor ketiadaan bilik kosong dan perlu menyediakan keperluan khas, pihaknya menangguh berbuat demikian.

Katanya, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah syarikat kereta demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Faimah termasuk membawa mendapatkan rawatan berkala ke HSI.

“Fatimah perlu pakai lampin memandangkan tulang pinggulnya membengkok serta isinya kurang, jadi dia mudah sakit.

“Fatimah juga tidak boleh berjalan dan hanya mengengsot. Ketika di sekolah dia menggunakan basikal khas untuk bergerak.

“Bagi mengelakkan tulangnya semakin rapuh, Fatimah perlu minum susu khas dengan kos RM400 sebulan,” katanya.

Zarina berkata, Fatimah hanya menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, suaminya, Abdul Kudhus Abd Karim, 43, bekerja sebagai pemandu bas di kolej swasta di Taman Austin dengan pendapatan RM1,200 sebulan bagi menyara lima anak bersekolah termasuk Fatimah. Seorang baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala dua lagi hanya bekerja biasa.

“Demi Fatimah, kami sanggup berkorban apa saja kerana dia menjadi kesayangan keluarga.

“Saya sedih apabila Fatimah bertanya bila dia mahu besar. Saya hanya berdoa Fatimah sihat dan ceria sepanjang masa.

“Antara kenangan manis Fatimah termasuk dapat bertemu dan bergambar dengan Permaisuri Johor tiga tahun lalu di HSI,” katanya yang tinggal di Jalan 17/3, Taman Bestari Indah, di sini.

Orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 011-12743411.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 7:04 AM