Nur Saliawati Salberi

Melaka: Ruang memasak sebuah restoran tomyam di Batu Berendam, di sini, kelmarin, bagaikan tempat menternak lipas apabila dikesan dipenuhi serangga itu yang berkeliaran di merata tempat.

Hasil pemeriksaan dalam Operasi Tom Yam bermula jam 9 malam kelmarin, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, mengarahkan restoran terbabit ditutup selama dua minggu.

Tinjauan yang dilakukan anggota penguat kuasa UIP mendapati lipas berkeliaran di atas rak, tempat menyusun pinggan, mangkuk dan di dalam bekas menyimpan sayur-sayuran.

Petugas di restoran terbabit seakan tidak menghiraukan kehadiran serangga berkenaan walaupun sedar ia boleh menyebabkan pelanggan mengalami keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ghazali Othman berkata, Operasi Tom Yam dijalankan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam mengenai tahap kebersihan restoran tom yam di negeri itu yang kurang memuaskan.

Beliau berkata, operasi itu juga bertujuan melindungi pengguna khususnya pelanggan daripada bahaya penyakit atau mengalami keracunan makanan akibat tidak dikendalikan dengan betul dan premis tidak bersih.

“Dalam operasi semalam (kelmarin), sebanyak lapan premis diperiksa dan hasilnya, lima diarahkan tutup selepas penguat kuasa UIP yang melakukan pemeriksaan mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan.

“Arahan penutupan selama 14 hari dikeluarkan kepada pemilik premis dan selain itu, 13 kompaun berjumlah RM4,500 dikeluarkan. Kami turut merampas dua pek serbuk teh dengan setiap satu seberat satu kilogram kerana disyaki dicampur bahan pewarna,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, sebanyak 3,961 premis makanan diperiksa jabatan itu dengan ada yang diarahkan tutup sementara mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 10:21 AM
SEKUMPULAN lipas berkeliaran di bawah meja restoran selain di rak-rak pinggan.
SEKUMPULAN lipas berkeliaran di bawah meja restoran selain di rak-rak pinggan.
PENGUAT kuasa UIP menjalankan pemeriksaan di premis tomyam.
PENGUAT kuasa UIP menjalankan pemeriksaan di premis tomyam.