KEADAAN dapur hotel yang diarahkan tutup oleh JKN Melaka selepas didapati terdapat najis tikus dan lipas. FOTO Ihsan JKN
KEADAAN dapur hotel yang diarahkan tutup oleh JKN Melaka selepas didapati terdapat najis tikus dan lipas. FOTO Ihsan JKN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Empat dapur hotel di negeri ini diarahkan tutup selepas tahap kebersihan premis terbabit didapati berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Notis penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menerusi operasi Op Hotel yang dijalankan pada 29 dan 30 November.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, penutupan hotel itu dibuat selepas Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bersama Unit Inspektorat dan Perundangan, yang menjalankan pemeriksaan di premis terbabit menemui terdapat najis lipas, lalat serta tikus (LILATI) di ruangan dapur premis terbabit.

Beliau berkata, dalam operasi selama dua hari itu, sebanyak 40 dapur hotel sekitar Bandar Hilir dan Ayer Keroh diperiksa, hasilnya empat dapur diarahkan tutup sementara.

"Penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

"JKN turut mengeluarkan 14 kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, membabitkan kesalahan tiada suntikan, tiada kursus pengendali makanan, tidak memakai apron serta penutup kepala yang kesemuanya berjumlah RM10,400," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rusdi, selain pemeriksaan kebersihan bahagian dapur pihaknya turut melakukan pemeriksaan kebersihan persekitaran di dalam dan luar hotel, hasilnya lapan hotel dikesan mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

"Susulan itu sembilan kompaun kesalahan bernilai RM4,500 dikeluarkan ke atas pemilik premis.

"Pihak JKN akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis khususnya hotel di sekitar Melaka bagi memastikan pematuhan Akta Makanan serta yang berkaitan dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan JKN bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelancongan khususnya terjamin memandangkan Melaka adalah sebuah negeri pelancongan terkemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 7:16 PM