DR Umarazina (kanan) bersama pegawai kesihatan menunjukkan bungkusan air ketum dan ubat batuk yang ditemui di dapur premis makanan di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas. Foto ZUHAINY ZULKIFFLI
DR Umarazina (kanan) bersama pegawai kesihatan menunjukkan bungkusan air ketum dan ubat batuk yang ditemui di dapur premis makanan di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas. Foto ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


BUKAN sahaja persekitaran yang jijik dan meloyakan, malah perkakasan memasak di dapur premis makanan juga didapati menjadi tempat pembiakan lipas dan tikus.

Itu antara punca 15 premis makanan di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas diberi pelbagai notis termasuk penutupan sementara selama 15 hari dalam Operasi Penang Sihat 9/2018 berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan.

Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Umarazina Abdul Kadir berkata, operasi itu turut menemui beberapa bungkusan air ketum dan ubat batuk di dapur salah sebuah premis terbabit.

Katanya, kesemua premis diperiksa mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985, Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Kesemua premis itu diberi notis penutupan sementara bagi kerja membersihkan persekitaran termasuk dapur masing-masing.

“Laporan polis akan dibuat berhubung penemuan air ketum dan ubat batuk itu dan akan diserah kepada polis bagi tujuan siasatan berikutan ia bukan di bawah bidang kuasa kami,” katanya, hari ini.

Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ong Ang Guan.

Operasi berkenaan membabitkan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Mengulas lanjut, Dr Umarazina berkata, operasi berkenaan dijalankan serentak di beberapa lokasi dalam Daerah Barat Daya membabitkan seramai 170 anggota.

Katanya, daripada keseluruhan 51 premis yang diperiksa, 18 daripadanya diarahkan tutup sementara, 21 diberi notis pelbagai kesalahan dan enam notis pembersihan dengan nilai kompaun sebanyak RM6,400.

“Bagi kesalahan rokok, didapati peniaga menjual rokok di bawah harga runcit yang dibenarkan selain menjual di bawah harga minimum dan nilai rampasan itu berjumlah RM965.50.

“Selain premis makanan, turut diperiksa ialah kedai runcit tapak binaan, tapak barang lusuh, hospital, klinik dan premis kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 6:07 PM