MASTURA (tengah) dikerumuni oleh murid ketika hadir bagi merasmikan program ‘Dengue Patrol’ di SK Raja Muda Musa, semalam.
MASTURA (tengah) dikerumuni oleh murid ketika hadir bagi merasmikan program ‘Dengue Patrol’ di SK Raja Muda Musa, semalam.

Kuala Kangsar: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, terkejut apabila dikerumuni ‘peminatnya’ iaitu puluhan murid ketika hadir untuk merasmikan program ‘Dengue Patrol’ (Gempur Denggi) di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda Musa di sini, semalam.

Sejak menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selepas menang besar pada Pilihan Raya Kecil Parlimen berkenaan baru-baru ini, Mastura jarang tampil menghadiri program yang disertai orang ramai di sini, kerana masih dalam tempoh edah kerana kematian suami, namun kemunculannya di sekolah berkenaan semalam, yang juga hari ulang tahun kelahirannya yang ke-55, disambut meriah.

Mastura yang tempoh edahnya berakhir pada 16 September ini berkata, beliau terkejut dengan sambutan hangat yang diterimanya pada program berkenaan.

Katanya, beliau hanya menghadiri program tertentu disebabkan masih dalam tempoh edah.

“Saya terima jemputan untuk merasmikan program ini di saat akhir dan saya cuba hadir kerana arwah suami saya (Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad) memberatkan perkara membabitkan pendidikan,” katanya berucap pada majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:22 AM