ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa.
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Dua beranak maut akibat lemas selepas terperangkap di dalam kereta Toyota Camry yang terhumban ke dalam parit berhampiran Jalan Rejosari, Senggarang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Ng Cheng Ley, 46, dan anak lelakinya, Ng Yin Xuan, 20.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka sedang dalam perjalanan dari arah Rengit ke Parit Botak, di sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu Cheng Ley bagaimanapun hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terjunam ke dalam parit berhampiran menyebabkan mereka terperangkap serta lemas.

“Mangsa dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rengit sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital bagi dibedah siasat,” katanya.

Menurut Abdul Wahid, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rengit Heza Haris berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan terbabit pada jam 3.20 petang.

Menurutnya, satu jentera membabitkan empat anggota kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 3.34 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:19 AM