Najib dan Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin (dua kiri) melihat buku Wasatiyah: Idea dan Realiti pada majlis memperkenalkan buku itu di Putrajaya, semalam.
Najib dan Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin (dua kiri) melihat buku Wasatiyah: Idea dan Realiti pada majlis memperkenalkan buku itu di Putrajaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Apabila berdepan dengan ancaman keganasan, tidak cukup sekadar kuasa ketenteraan dan kepolisan sahaja, malah apa yang paling mujarab menjadikan wasatiyyah sebagai nilai pegangan,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian pada siri temu bual eksklusif pada majlis memperkenalkan buku tulisan terbarunya, Wasatiyyah: Idea dan Realiti di Seri Perdana, di sini, semalam.

Najib berkata, beliau mahu membudayakan gagasan dan pemikiran wasatiyyah serta menjadikannya sebagai nilai pegangan umat Islam di Malaysia selain model bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.

Menurutnya, Malaysia boleh dijadikan model untuk memperkenalkan gagasan pemikiran ini, sekali gus boleh dijadikan jawapan kepada konteks cabaran dihadapi dunia Islam buat masa ini.

Najib berkata, beliau mahu usaha berterusan dilakukan bagi memperkembangkan gagasan wasatiyyah menerusi Institut Wasatiyyah Malaysia.

Katanya, institut itu melatih 1,000 pelajar daripada generasi muda bagi menyebar luas konsep dan gagasan berkenaan sama ada di Malaysia dan di luar negara.

Buku dwibahasa menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris itu dipasarkan pada harga RM40 bagi Semenanjung dan RM45 bagi pasaran Sabah dan Sarawak.

Kandungan buku antara lain menggariskan langkah kerajaan mempromosikan prinsip wasatiyyah melalui pelbagai kaedah antaranya menjadikannya sebagai dasar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:14 AM