Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia sentiasa mencontohi serta menjiwai roh dan semangat peristiwa hebat Hijrah sebagai tunjang kepada transformasi dan pembangunan negara yang realitinya mempunyai masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, ini selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang progresif.

“Justeru, dengan berwahanakan Gagasan 1Malaysia, kita menggarap semangat Hijrah ini ke dalam agenda transformasi nasional,” kata Najib dalam perutusannya sempena sambutan Maal Hijrah 1436H.

Najib menegaskan prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial perlu dijadikan asas bermasyarakat melatari landskap kehidupan rakyat Malaysia yang harmoni.

Jelasnya, berpandukan kepada semangat Hijrah, beliau telah membentangkan Bajet 2015 bertema ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’ baru-baru ini untuk terus memperkukuh kemapanan ekonomi negara, memperkasa transformasi dan mendahulukan keperluan rakyat.

“Harapan kita ialah Malaysia akan terus berkembang melalui pelaksanaan semua program transformasi ekonomi yang sudah kita rancang dan laksanakan,” kata Najib.

Perdana menteri turut merujuk kepada kejayaan Malaysia baru-baru ini menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2015-2016.

“Ini adalah bukti pengiktirafan dunia kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia. Malah, ini juga perlu dilihat sebagai satu penerimaan dunia kepada pendekataan wasatiyyah (bersederhana) berpaksikan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, tarikh 1436 Hijrah mengingatkan umat Islam kepada penetapan takwim Islam oleh Saidina Umar Al-Khattab yang juga satu bentuk inovasi dalam tadbir urus terbaik pada pemerintahan Khilafah Islamiah pada waktu itu.

Peristiwa Hijrah merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda dari Kota Makkah ke Yathrib (Madinah) pada 622 Masihi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 10:41 PM