NAJIB mengaminkan bacaan doa awal tahun pada Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena Sambutan Maal Hjirah 1436 di Masjid Negara yang dihadiri kira-kira 4,000 jemaah, semalam.  Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kiri).
NAJIB mengaminkan bacaan doa awal tahun pada Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena Sambutan Maal Hjirah 1436 di Masjid Negara yang dihadiri kira-kira 4,000 jemaah, semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kiri).

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif sentiasa mencontohi serta menjiwai roh dan semangat peristiwa Hijrah sebagai tunjang kepada transformasi dan pembangunan negara yang realitinya mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum.

Katanya, tarikh 1436 Hijrah ini mengingatkan seluruh umat Islam kepada penetapan takwim Islami oleh Amirul Mukminin Saiyidina Umar al-Khattab yang juga satu bentuk inovasi dalam urus tadbir terbaik pemerintahan Khilafah Islamiah pada waktu itu.

“Justeru, dengan berwahanakan Gagasan 1Malaysia, kita menggarap semangat Hijrah ini ke dalam agenda transformasi nasional. Prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial perlu dijadikan asas bermasyarakat melatari landskap kehidupan rakyat Malaysia yang harmoni.

“Semestinya, kita bersepadu usaha dalam agenda menegakkan syiar dan syariat Allah. Isyarat inilah yang dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam al-Quran,” katanya dalam perutusan Maal Hijrah 1436 di laman najibrazak.com, semalam.

Berpandukan kepada semangat Hijrah, Najib berkata, beliau membentangkan Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat bagi terus memperkukuh kemapanan ekonomi, memperkasa transformasi dan mendahulukan keperluan rakyat.

Katanya, dengan tema Perpaduan Nadi Transformasi Negara sempena Maal Hijrah ini, harapan kerajaan Malaysia akan berkembang dan terus berkembang melalui pelaksanaan program transformasi ekonomi dirancang dan laksanakan.

Selain itu, katanya, kejayaan Malaysia menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) adalah bukti pengiktirafan dunia kepada kerajaan dan seluruh rakyat negara ini.

“Malah, ini juga perlu dilihat sebagai satu penerimaan dunia kepada pendekatan wasatiyyah yang berpaksikan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:07 AM