NAJIB melancarkan buku terbitan IWM ditemani Dr Abdullah (kiri) dan Mohd Yusof.
NAJIB melancarkan buku terbitan IWM ditemani Dr Abdullah (kiri) dan Mohd Yusof.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Generasi muda diharap tidak sewenang-wenangnya menjadi pembawa berita bahawa Malaysia kini menuju ke jalan songsang sama ada dari perspektif ekonomi atau politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau secara peribadi kesal segelintir generasi muda seakan-akan lebih percaya kepada propaganda dan label buruk yang disuntik musuh Islam.

“Berhati-hatilah dengan label dan stigma. Hari ini, kita digelar sebahagian media berkepentingan sebagai negara yang gagal, malah nama Malaysia seakan-akan mahu diburukkan secara sewenang-wenangnya.

“Apakah kita negara gagal apabila Malaysia kini berada di tempat teratas dalam banyak kerangka penilaian seperti Laporan Daya Saing Global atau Laporan Bank Dunia Menjalankan Perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Wasatiyyah Sebagai Manhaj Generasi Muda Masa Kini’ pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Tan Sri Dr Abdullah Md Zin dan Pengarah IWM, Datuk Mohd Yusof Din.

Katanya, beliau mahu generasi muda bersikap adil dalam membuat penilaian, malah sebagai pemimpin, beliau tidak sama sekali menutup ruang kritikan dan sanggahan.

Najib berkata, suara generasi muda didengar dan dihormati asalkan mereka tidak mencagarkan keamanan negara demi kepentingan politik singkat.

“Kita boleh berbeza pandangan, namun ia mestilah dilakukan dalam keadaan saling hormat dan tidak mencemarkan nama baik negara dan agama.

“Selaras niat dan maksud wasatiyyah, kita perlu mengambil sikap seimbang dalam menyanggah kerajaan. Kepemimpinan yang tidak baik wajar disanggah dan ditegur manakala yang baik perlu diangkat sebagai sesuatu yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Katanya, beliau menegaskan generasi muda Malaysia terus menjadi sebahagian yang sangat signifikan dan penting kepada negara, malah kerajaan tidak mengetepi dan menidakkan kepentingan mereka.

“Mahu tidak mahu, generasi muda yang ada hari ini mesti menyambut cabaran dan realiti baru dengan fikrah dan keyakinan tinggi serta diharap mereka mampu menempuh badai yang menduga dan menguji.

“Satu daripada prinsip teras di dalam manhaj wasatiyyah adalah prinsip kecemerlangan yang menjadi amanah dan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan platform terbaik untuk generasi muda memperkukuh kejayaan dalam segenap bidang khususnya ekonomi,” katanya.

Najib berkata, beliau melihat pendekatan wasatiyyah sebagai wahana terbaik dalam membendung fahaman yang wujud termasuk kumpulan Militan Negara Islam (IS) dan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menyasarkan generasi muda sebagai tumpuan dalam menyebarkan ideologi dan fahaman mereka.

Justeru, katanya, usaha perlu dilakukan untuk memperkasakan generasi muda dengan pendekatan wasatiyyah. Ia perlu

dilakukan dengan lebih serius, tersusun dan berterusan, malah boleh dipertimbang sebagai salah satu komponen penting dalam modul latihan khidmat negara.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan empat buku terbaru terbitan IWM dengan satu daripadanya adalah hasil tulisan beliau bertajuk ‘Mermartabatkan Wasatiyyah’.

Seminar anjuran IWM bertajuk ‘Islam dan Generasi Muda: Cabaran dan Harapan’ berakhir hari ini dan dihadiri 500 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:28 AM