ANGGOTA JPN memeriksa MyKad dimiliki seorang wanita.
ANGGOTA JPN memeriksa MyKad dimiliki seorang wanita.
Mohd Husni Mohd Noor dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Mungkin kerana terkejut apabila rumahnya di Balok, di sini, diserbu anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seorang wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina berpura-pura terkena sawan sambil menggelupur di atas lantai.

Lakonan wanita berusia 30-an itu gagal apabila disergah anggota JPN sebelum bingkas bangun apabila diarah berbuat demikian.

Hasil pemeriksaan mendapati wanita berkenaan melakukan kesalahan kad pengenalan (MyKad) palsu dan mendakwa mendapatkannya menerusi sindiket pada harga tertentu.

Operasi dilakukan JPN Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen itu berjaya menahan kira-kira 49 PATI atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Akta Imigresen 1969.

Operasi bermula jam 1 pagi dan berakhir kira-kira lima jam kemudian menumpukan empat lokasi di sekitar Balok yang sememangnya menjadi penempatan PATI berkenaan.

Ketua Pengarah JPN Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat serta hasil risikan pihaknya yang mendapati masih ada lagi PATI mendiami kawasan berkenaan walaupun pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

“Daripada jumlah 49 orang itu, seramai 11 orang menggunakan MyKad palsu manakala empat orang menggunakan MyKad orang lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika memeriksa mereka.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati mereka yang berusia antara 23 hingga 55 tahun mendapatkan MyKad daripada sindiket dengan kadar bayaran sekitar RM200 hingga RM1,900,” katanya ditemui selepas Ops Terancang JPN, semalam.

Menurutnya, semua PATI berkenaan mengaku berbangsa Tausug dan berasal dari Zamboaga, Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi di Filipina.

Mohd Yazid berkata, bagi kesalahan itu, mereka disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Imigresen, bayi berusia 12 bulan antara yang ditahan dalam operasi ini dan kita menyerahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Buat sementara ini, semua mereka ditempatkan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Indera Mahkota, di sini, untuk proses dokumentasi sebelum mendapatkan perintah reman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:45 AM