SISI Ungau(kanan), Al-Khaizar (dua kanan) dan Al-Sakur Bangsa (belakang, kiri) dihukum penjara selepas mengaku bersalah. FOTO Khairunisah Lokman
SISI Ungau(kanan), Al-Khaizar (dua kanan) dan Al-Sakur Bangsa (belakang, kiri) dihukum penjara selepas mengaku bersalah. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


Melaka : Tiga warga Filipina dijatuhi hukuman penjara tiga dan lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi, selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki MyKad palsu.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Al-Sakur Bangsa, 41, dari Zamboanga, Filipina; Al-Khaizar, 34, (Jolo, Sulu) dan Sidi Ungau, 38, (Pulau Solo) selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, Al-Sakur, Al-Khaizar dan Sidi masing-masing didapati memiliki MyKad palsu atas nama Abdul Amin Mohd Ismail, Harmizali Tabin @ Tahir dan Mohd Paik Ahari ketika serbuan di tapak binaan di Cheng, di sini, minggu lalu.

Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh ditahan dalam satu operasi bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Melaka di Aik Cheong Coffee Roaster Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Cheng, Melaka, kira-kira 12 tengah hari, 30 Mac lalu.

Dalam operasi itu, semakan JPN pada rekod nombor kad pengenalan milik penama tidak sepadan berdasarkan perbandingan cap jari dan imej gambar daripada Sistem Pengecaman Cap Jari Bersepadu (AFIS).

Justeru, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2007) dan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Nasrom Yusof mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas faktor keselamatan negara serta tidak dikenakan denda.

Analia kemudian memutuskan hukuman penjara tiga bulan ke atas Al-Sakur, manakala masing-masing lima bulan terhadap Al-Khaizar dan Sidi dengan hukuman bermula daripada tarikh mereka ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 4:08 PM