SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin dihukum penjara selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.
SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin dihukum penjara selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina berketurunan Suluk dan dua warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dalam tiga prosiding berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh yang terdiri daripada 27 lelaki dan tiga wanita ditangkap pada 21 Januari lalu dan diusir dari negara ini selepas masing-masing selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kampung Balok dan Sungai Karang, dekat sini, pada jam 1.10 pagi, 21 Januari lalu.

Setiap tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes didengar di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali, Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dan Majistret Noor Aisah Mohamed.

Pada prosisiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya iaitu Mohd Fazdhly Abd Razak, Mohd Asghar Mohd Hussain dan Mokhzan Ariff.

Semua tertuduh yang berasal dari Zamboanga, Filipina dan Kalimantan, Indonesia tidak diwakili peguam.

Terdahulu, semua tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan perlu menanggung keluarga masing-masing dan masuk ke negara ini untuk mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh ditahan menerusi operasi bersepadu JPN di sekitar Kampung Balok dan Sungai Karang, dekat sini, 21 Januari lalu.

Pemeriksaan JPN mendapati mereka menggunakan kad pengenalan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:11 AM