SEMUA tertuduh diarah menjalani hukuman penjara  bermula dari tarikh ditangkap sebelum diusir dari negara ini.
SEMUA tertuduh diarah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap sebelum diusir dari negara ini.
Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Seramai 15 individu warga Filipina keturunan Suluk masing-masing dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas dakwaan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain.

Tertuduh yang terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 50 tahun membuat pengakuan itu dalam dua prosiding berasingan di depan Majistret Noor Zaihan Mohammad Ali dan Majistret Noor Aisah Mohamed.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara terhadap warga asing itu bermula dari tarikh ditangkap dan mereka diusir dari negara ini selepas menjalani hukuman masing-masing.

Mengikut kertas pertuduhan, warga asing yang berasal dari Zamboanga, Sulu, Jolo dan Tawi-Tawi, Filipina itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di beberapa rumah sewa di Kampung Seberang Balok, di sini, antara jam 1.30 pagi dan 3.15 pagi pada 5 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang kebanyakannya bekerja sebagai pekerja kilang, buruh, pendawai elektrik dan tukang rumah memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung.

Mereka juga meminta maaf kepada Kerajaan Malaysia atas perbuatan itu.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohd Fazdhly Abd Razak dan Mohd Asghar Mohd Hussain.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan JPN, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Kampung Seberang Balok pada 5 Ogos lalu.

Ketika ditahan, cap jari dan gambar warga asing berkenaan tidak sama dengan kad pengenalan yang dikemukakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 9:41 AM