Idris  (tengah, lima dari kanan), Shazalli  (tengah, tujuh dari kanan) dan  Dr Hassan (tengah, empat dari kanan) bersama sebahagian  pelajar sempena program CEO@ Faculty di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Idris (tengah, lima dari kanan), Shazalli (tengah, tujuh dari kanan) dan Dr Hassan (tengah, empat dari kanan) bersama sebahagian pelajar sempena program CEO@ Faculty di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

Shah Alam: Pensyarah di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diminta meningkatkan kerjasama dengan pelbagai sektor industri bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa cemerlang termasuk dalam dunia keusahawanan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pensyarah dan penuntut kini perlu mengetahui keadaan atau perkembangan terkini industri supaya kerjasama dengan bidang akademik dijalin secara berterusan.

“Sebagai contoh, kementerian memperkenalkan program ‘CEO@Faculty’ yang bukan saja berperanan memberi ceramah semata-mata, malah tokoh industri yang dipilih perlu berinteraksi dan bekerjasama dengan pakar akademik.

“Ia bagi memastikan kurikulum yang diajar di universiti atau IPT selaras dengan kehendak industri. Selain itu, ia boleh mengenal pasti langkah atau peranan yang boleh dibuat tanpa hanya tamat di satu peringkat,” katanya selepas menghadiri majlis Penyampaian Pelantikan Watikah CEO@Fakulty kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Seri Shazalli Ramly di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Menurut Idris, kementerian berharap kerjasama antara kedua-dua pihak itu dapat ditingkatkan secara berterusan.

“Kita (kementerian) melihat isu di universiti. Antaranya pensyarah kurang mengetahui apa yang berlaku dalam industri.

“Mereka turut perlu berkolaborasi dengan kerajaan dan masyarakat supaya mahasiswa tidak ‘kekurangan’ apabila menamatkan pengajian kelak. Ia ditingkatkan secara berperingkat bagi memastikan kemampuan melahirkan graduan cemerlang secara holistik dan seimbang,” katanya.

Sementara itu, Shazalli berkata, penganjuran program khas berkenaan memberi tambah nilai kepada kurikulum mahasiswa, sekali gus meningkatkan tahap pendidikan mereka.

“Ia berikutan pihak industri diberi ruang dan peluang berkongsi pelbagai kajian dengan penuntut yang kini bertuah kerana dapat merasai sendiri pengalaman menemui CEO di depan mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:19 AM