PPPM (PT) 2015-2025 mempersiapkan mahasiswa ke arah generasi berwibawa untuk menerajui negara pada masa depan.
PPPM (PT) 2015-2025 mempersiapkan mahasiswa ke arah generasi berwibawa untuk menerajui negara pada masa depan.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Petaling Jaya: Mahasiswa di negara ini yakin Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 dapat membangun dan mempersiapkan diri mereka ke arah generasi berwibawa untuk menerajui negara pada masa depan.

Pelan yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 April depan akan meluaskan lagi hala tuju mereka dalam menempuh tuntutan dunia yang penuh cabaran.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Hanif Ramlan berkata, pelan itu akan memberi lonjakan paradigma kepada mahasiswa untuk mengimbangi akademik dan kokurikulum bagi memenuhi kehendak industri zaman sekarang.

“Jika industri dulu lebih memberi tumpuan kepada akademik semata-mata, tetapi sekarang akademik bukan lagi kayu pengukur sebaliknya perlu diimbangi dengan kemahiran sahsiah, cara berkomunikasi serta bagaimana hendak kendalikan program.

“Apabila mahasiswa dibentuk dengan akademik dan kokurikulum, mereka dapat satu perwatakan berbeza dari graduan lain dan boleh bersaing di alam pekerjaan,” katanya.

Menurut Muhammad Hanif, perincian PPPM (PT) ini perlu diterapkan kepada setiap mahasiswa dan golongan itu harus merebut peluang menerima maklumat dari pihak luar terutama berkaitan kriteria diperlukan industri pada masa kini.

“Satu daripada perkara yang ditekankan dalam pelan ini adalah mewujudkan kerjasama dengan industri luar, jadi inilah peluang hebat yang perlu direbut dan pelaksanaan pelan ini adalah antara satu cara untuk mengurangkan statistik pengangguran di kalangan graduan,” katanya.

Pendapat sama diberi Presiden MPP Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhamad Anas Misbahudin yang berkata, PPPM (PT) dapat menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih memenuhi keperluan mahasiswa selari dengan situasi semasa.

“Perubahan dunia kini cukup mencabar termasuk arus perubahan teknologi dan pelan ini memudahkan pelajar mengakses pendidikan yang lebih berkualiti.

“Pendidikan cukup penting dan perlu diutamakan, kalau kita tengok mahasiswa hanya mengeluarkan kos rendah untuk mendapatkan pendidikan baik termasuk tenaga pengajar yang berkelayakan, fasiliti seperti perpustakaan dan sebagainya yang disediakan kerajaan dengan kos amat besar,” katanya.

Beliau yang Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berkata, PPPM (PT) akan mewujudkan ekosistem atau pembelajaran yang inklusif dan produktif kepada mahasiswa dan perlu dilaksanakan dengan lebih konsisten bagi menepati matlamatnya.

“Penjelasan lebih terperinci perlu diberikan kepada mereka yang terbabit dengan PPPM (PT) supaya mereka faham apa sebenarnya pelan ini dan bagaimana semua orang perlu memainkan peranan bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

Jelasnya lagi, pembangunan fizikal dan rohani mahasiswa perlu diseimbangkan dalam pelan berkenaan untuk melahirkan modal insan holistik.

“Pembangunan dan rohani ini juga sangat penting tetapi ia perlu seimbang kerana boleh membawa mahasiswa lebih konsisten dalam pendidikan dan selari dengan pembangunan diri sendiri.

“Selain itu, kita juga perlu tengok pelaksanaan pelan ini untuk menyelesaikan isu-isu semasa contohnya isu mahasiswa yang tidak ada pekerjaan bila tamat pengajian.

“Harapan saya pelan ini akan lebih membawa mahasiswa dalam lonjakan ini untuk menjadikan mereka holistik termasuk boleh menjadi usahawan, berakhlak tinggi, berdaya saing dan nilai-nilai yang sepatutnya kita perlu ada,” katanya.

Timbalan Naib Yang Dipertua Sukarelawan Siswi UPM R Kalai Selvan mengakui kecemerlangan bakat yang digariskan dalam lonjakan dua berupaya memartabatkan kualiti pensyarah di institut pengajian tinggi (IPT).

“Kualiti memang menjadi nadi bagi sesebuah IPT, jadi pada masa kini, kita melihat banyak laluan kerjaya disediakan untuk meningkatkan taraf kualiti pensyarah termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Perkara ini perlu kerana mereka ada kepakaran lain termasuk pengalaman luas dalam industri berbanding pensyarah peringkat rendah seperti yang hanya berkelayakan Sarjana atau Sarjana Muda.

“Apabila seseorang mahasiswa belajar dalam tempoh tiga atau empat tahun, dia hanya fokus teori dalam bilik kuliah saja, tetapi realitinya pensyarah yang mempunyai kepakaran lebih sedar apa yang sedang berlaku di industri.

“Jadi perkongsian di industri yang diberikan pensyarah berpengalaman amat perlu oleh mahasiswa sebagai bekalan melengkapkan diri dan memudahkan mereka mendapat kerja apabila keluar dari universiti,” katanya.

Beliau juga berharap semua pensyarah di IPT negara ini terdiri daripada anak tempatan yang akan meningkatkan kualiti pelajar di samping mewujudkan peluang kerja kepada rakyat kita sendiri.

“Selain itu, saya juga menyokong konsep pelan ini yang turut memfokuskan meningkatkan mobiliti pelajar dan berdasarkan pengalaman sendiri ketika menjalani latihan program mobiliti di bawah UPM selama enam bulan di Australia, ia dapat berkongsi maklumat dan kemahiran dalam membantu meningkatkan kualiti pengeluaran bidang perikanan di negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 11:25 AM