Tanjung Malim: Kementerian Pendidikan akan melancarkan pusat khidmat kerjaya pembabitan industri atau Ind-E-Zone di tujuh lagi universiti awam bulan ini bagi meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa melalui kerjasama industri dan pihak universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan berkata setakat ini kementerian sudah melancarkan empat pusat khidmat kerjaya berkenaan termasuk di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Selepas ini, kementerian akan melancarkan Ind-E-Zone di Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ind-E-Zone di UPSI, semalam.

Kamalanathan berkata, kira-kira 200 syarikat swasta bekerjasama dengan universiti awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kerjaya kepada penuntut dan beliau yakin lebih banyak syarikat terbabit selepas pelancaran Ind-E-Zone di semua universiti berkenaan.

“Banyak syarikat sudah bertemu dengan graduan...harus ambil maklum bahawa graduan kita memang berkualiti kerana sistem pendidikan kita adalah untuk melahirkan graduan yang holistik, bukan sahaja bijak dari segi akademik malah dari segi ko-kurikulum,” katanya.

Sebelum ini, pusat Ind-E-Zone dilancarkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:40 AM