SEBAHAGIAN tetamu mendengar amanat tahun baharu disampaikan oleh Idris.
SEBAHAGIAN tetamu mendengar amanat tahun baharu disampaikan oleh Idris.
IDRIS menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2017 KPT di PICC, semalam.
IDRIS menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2017 KPT di PICC, semalam.
Hamizah Badiran


Sambil berulang kali melaung slogan kementeriannya, Soaring Upwards (Peningkatan Berterusan) dengan penuh bersemangat, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Idris Jusoh menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2017 kepada warga kementerian, tenaga pengajar dan pendidik, penyelidik serta mahasiswa universiti awam dan swasta di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Bertemakan Redesigning Higher Education atau Mereka Bentuk Pendidikan Tinggi Negara, Idris berkata ia selaras dengan lonjakan 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 iaitu ekosistem inovasi, naratif sektor penyelidikan perlu berganjak daripada ‘membudayakan penyelidikan’ kepada ‘penyelidikan yang boleh memberi manfaat terus kepada masyarakat’.

Justeru, beliau mengumumkan 2017 sebagai tahun ‘Penyelidikan Translasional (Translational Research)’.

Ini kerana, selama sedekad lalu, institusi pengajian tinggi (IPT) mengorak langkah amat memberangsangkan dalam penyelidikan apabila daripada RM5.58 bilion yang dilaburkan kerajaan untuk tujuan penyelidikan antara 2007-2015, universiti negara menjana RM7.17 bilion yang merupakan Pulangan Pelaburan Penyelidikan atau Return of Research Investment (RoRI) sebanyak 28.5 peratus.

Jumlah ini termasuk hasil penyelidikan fundamental (buku, pakar runding, perkhidmatan) dan penyelidikan komersial (produk, harta intelek). Hasil pelaburan kerajaan membawa kepada jumlah penerbitan yang tinggi sehingga membolehkan Malaysia mendahului Singapura dan Thailand; bilangan harta intelek dan paten yang difailkan menjadi berganda dan sitasi penerbitan bertambah membolehkan penyelidik kita diiktiraf satu peratus terbaik di dunia.

“Sehubungan itu, kementerian akan menyediakan Research Priority Roadmap 2017 selari dengan program Grand Challenge dan UN Sustainable Development Goals (SDG) yang akan diterajui universiti penyelidikan Malaysia; penterjemahan penyelidikan, lebih berharga dan relevan; mempromosi bakat dalam kalangan penyelidik yang terbabit dalam bidang SDG dan revolusi industri ke-4 serta meletak penyelidikan untuk keunggulan global selaras dengan Lonjakan 8 PPPM (PT) 2015-2025.

“Contoh Penyelidikan Translasional ini seperti dilakukan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membantu meningkatkan hasil tanaman dan kualiti padi dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang teknologi membran bagi merawat air bersih semasa banjir,” katanya.

Mengenai program kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa, Idris mengumumkan mulai September ini, kementerian akan melaksanakan program Gap Year 2017 yang julung kali dibangunkan membabitkan lapan universiti awam di Malaysia.

Program itu memberi peluang mahasiswa menimba pengalaman melaksanakan kerja sukarelawan di agensi awam.

Kemajuan teknologi turut memerlukan kementerian mereka bentuk semula sistem pengajaran dan pembelajaran agar lebih aktif, interaktif, imersif, bersifat cabaran (challenge based) dan ‘role play’.

“Hanya dengan cara ini kita dapat mencapai matlamat pendidikan di dalam Blooms Taxonomy, bukan sekadar mengingati, tetapi untuk mencipta.

“Sukacitanya saya mengumumkan penubuhan Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Semual Pendidikan Tinggi Malaysia 2017. Jawatankuasa anugerah ini diketuai Prof Mohamad Amin Embi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Pada tahun ini juga, kementerian terus komited meningkat bidang Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan merangka dasar TVET Kementerian serta melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kementerian turut menerokai penubuhan institusi penyelidikan TVET kebangsaan sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan latihan serta pusat hubungan industri bagi memenuhi keperluan industri dan pembangunan TVET negara.

MQA turut diseru meningkatkan jaminan kualiti dan standard menerusi Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) 2.0 dan menerokai sistem jaminan kualiti berasaskan pencapaian.

Kementerian turut membubarkan Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan (JTPPK) dan fungsi JTPPK dilaksanakan sepenuhnya MQA.

Bagi memastikan sektor pendidikan tinggi swasta kekal kompetitif, kementerian akan membentangkan pindaan Akta 555 dalam sesi Parlimen, Mac ini. Ini akan memperkemaskan amalan pengawalseliaan, prosedur kelulusan permohonan serta menyentuh aspek pemilikan dan tenaga kerja.

Kementerian juga dalam proses menambah baik ‘Business Process’ di institusi pengajian tinggi swasta dan memastikan kerja selaras dengan piagam pelanggan. Dalam usaha jaminan kualiti, pengukuran prestasi kebangsaan melalui SETARA 2017 dan MyQUEST 2017 akan dimulakan.

Menurutnya, Malaysia destinasi pendidikan amat sesuai untuk penuntut antarabangsa terutamanya yang ingin mengambil peluang cuti musim panas untuk menimba ilmu, melancong dan menimba pengalaman kehidupan baru.

Maka tahun ini, IPT diminta menumpukan usaha pengantarabangsaan kepada program berbentuk ‘Semester Musim Panas (Summer Semester)’ manakala MQA bekerjasama dengan IPT untuk memudah cara proses pemindahan kredit ke universiti asal bagi penuntut yang mengikuti program Summer Semester di Malaysia.

Meneruskan kesinambungan beberapa inisiatif terdapat dalam PPPM (PT) 2015-2025 pada April 2015, pendidikan fleksibel yang melonjak nilai tambah bakal graduan melalui pelaksanaan sistem penilaian pelajar baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) akan diperhebatkan.

“Sistem iCGPA direka untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan antara kualiti graduan dan kehendak majikan memandangkan sistem sedia ada hanya mengukur kemampuan akademik penuntut semata-mata. iCGPA penuntut dapat dilihat menerusi Matrik Sesawang Labah-Labah yang bertindak menganalisa kekuatan dan kelemahan mahasiswa berkenaan.

“Pada September 2015, projek rintis iCGPA membabitkan lima universiti tetapi menjelang September 2016, ia dikembangkan kepada 20 universiti awam selain lima politeknik dan sembilan kolej komuniti.

“Saya turut mengalu-alukan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melaksanakan iCGPA,” katanya.

Antara usaha berterusan KPT dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan ialah melalui program CEO@Fakulti bagi memberi pendedahan kepada siswa dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO/Tokoh Industri terkemuka dan pelbagai latar belakang).

CEO@Fakulti 2.0 akan dimulakan tahun ini dengan moto ‘Coached by the Pros’.

Idris turut meminta universiti mengambil kira pembabitan pensyarah muda yang mengikut program ini sebagai kriteria kenaikan pangkat di bawah petunjuk prestasi utama (KPI) latihan industri mereka.

“Dengan inisiatif tahun lalu yang kini membuahkan hasil dan menerusi agenda Mereka Bentuk Pendidikan Tinggi Negara yang sedang mara ke hadapan, saya percaya sistem pendidikan tinggi kita sedang ‘soaring upwards’.

“Saya percaya sistem pendidikan tinggi Malaysia akan menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:35 AM