Ardyhansah Amat


Kota Belud: Projek Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur (EM-IIG) yang dilancarkan di Kampung Rampayan Laut, mampu menyediakan talian jalur lebar berkelajuan tinggi kepada penduduk negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek berkenaan akan menyumbang kepada peningkatan sambungan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang membolehkan penduduk terutama di pedalaman mengakses Internet, sekali gus menikmati kemudahan teknologi maklumat.

“Sejak merdeka, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar seperti penyediaan prasarana asas, pendidikan, pertanian dan kesihatan awam.

“Justeru, EM-IIG juga antara usaha kerajaan dalam merapatkan jurang digital antara masyarakat pedalaman dan bandar,” katanya ketika melancarkan Projek EM-IIG di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dan Pengerusi XiddiG Cellular Communications Sdn Bhd Datuk Abdul Rashid Abdul Rahim.

Tambah Ahmad Zahid, projek itu penting dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi masa depan dan memastikan perniagaan domestik serta antarabangsa sedia ada kekal berdaya saing.

“Hakikatnya, pembangunan luar bandar dilaksanakan sejak lima dekad lalu menyaksikan perubahan ketara dengan mencatatkan pelbagai pencapaian terutamanya dalam membasmi buta huruf, kemiskinan, penyediaan prasarana, kemudahan sains dan teknologi maklumat serta menggerakkan ekonomi.

“Dengan adanya EM-IIG, ia dapat menjamin sambungan Internet jalur lebar setiap masa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, EM-IIG akan dilaksanakan menerusi empat fasa dengan kos permulaan bagi tiga fasa pertama berjumlah RM850 juta menerusi pelaburan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:24 AM