TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. FOTO Edmund Samunting
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. FOTO Edmund Samunting
Ardyanshah


Kota Belud: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur (EM-IIG) di Kampung Rampayan Laut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan menerusi empat fasa dengan kos permulaan bagi tiga fasa pertama berjumlah RM850 juta menerusi pelaburan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

"Bagi tiga fasa pertama projek EM-IIG dijangka siap dalam tempoh dua tahun yang mana fasa pertamanya membabitkan penyediaan kabel fiber optik dasar laut berkeupayaan 60 terabyte dari Tapak Pendaratan Pantai Kampung Rampayan.

"Fasa kedua pula akan menghubungkan semua syarikat telekomunikasi di Sabah, manakala fasa ketiga pula, disasarkan untuk membina satu pangkalan data bertaraf antarabangsa Tier 4 tahap tertinggi, yang pertama di rantau ini di kawasan seluas 9.2 hektar (23 ekar) di Kampung Rampayan Laut," katanya.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak dan Pengerusi XiddiG Cellular Communications Sdn Bhd Datuk Abdul Rashid Abdul Rahim.

Fasa keempat pula membabitkan pelaburan XiidiG sebagai pemaju, kerajaan negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melebarkan kawasan Multimedia Super Coridor (MSC) ke Sabah berpusat di Kota Belud.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, projek itu bukan saja merancakkan pertumbuhan ekonomi masa depan, tetapi dapat memastikan perniagaan domestik dan antarabangsa yang sedia ada kekal berdaya saing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 11:48 AM