myMetro

Subang Jaya: Dua penjenayah yang panik selepas dikejar polis sejauh hampir 10 kilometer akhirnya bertindak nekad terjun dalam sungai berhampiran Kampung Sri Aman, di sini.

Suspek yang menyangka polis akan berputus asa mengejar mereka, bagaimanapun terkejut apabila anggota polis turut meredah sungai untuk menahan mereka.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, suspek yang menaiki kereta Proton Waja baru merompak seorang pekerja Bangladesh.

Bagaimanapun, perbuatan itu disedari anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya sebelum kereta dinaiki suspek dikejar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Lee Swee Meng berkata, suspek kemudian melarikan diri ke Kampung Sri Aman di sini, sebelum berhenti di tebing sungai.

Menurutnya, dua suspek terbabit kemudian keluar kereta dan terjun dalam sungai untuk melarikan diri.

“Polis yang mengejar suspek menahan seorang daripada penjenayah manakala seorang lagi melarikan diri.

“Berlaku pergelutan antara polis dan suspek sebelum lelaki berusia 30-an itu ditahan,”katanya.

Lee berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan mempunyai satu rekod jenayah.

“Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri di sungai berhampiran.

“Suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:08 AM