TANGKAP layar video tular kejadian polis mengejar suspek kes samun.
TANGKAP layar video tular kejadian polis mengejar suspek kes samun.
Ruwaida Md Zain


Klang: Seperti adegan dalam filem, seorang penjenayah memandu dalam keadaan 'gila' dan berbahaya dengan merempuh beberapa kenderaan awam serta polis sebelum berjaya ditahan di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, dekat sini, semalam.

Tindakan agresif suspek yang cuba melarikan diri ketika dikejar memaksa anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, lelaki berusia 31 tahun yang juga suspek kes samun dikejar kereta digunakan pasukan polis dari Banting ke Klang melalui Teluk Panglima Garang sehingga ke lokasi suspek ditangkap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku kejadian tembak di kawasan Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang membabitkan dua kereta.

"Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati sepasukan polis dari Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengejar suspek yang terbabit kejadian samun di Subang Jaya.

"Suspek yang memandu kereta Proton Inspira memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan orang awam ketika berada di kawasan Masjid Kampung Pendamar, Klang.

"Lelaki itu turut melanggar kereta digunakan oleh pasukan polis secara agresif sehingga hampir melanggar kenderaan lain sekali gus memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Cha berkata, kereta suspek terbabas di Kampung Pendamar sebelum melanggar sebuah kereta orang awam.

Katanya, suspek terus melarikan diri dari lokasi itu, sebelum dikejar hingga ke kawasan perkampungan.

"Namun, suspek kembali ke lokasi keretanya terbabas dan memandu kenderaan digunakan pasukan polis dalam usaha meloloskan diri.

"Pasukan polis sekali lagi bertindak nekad melepaskan beberapa das tembakan bagi mengelakkan suspek melarikan diri dan mengancam nyawa orang awam dalam usaha melarikan diri.

"Akhirnya, suspek berjaya ditahan di kawasan Jalan Kem, Pelabuhan Klang. Suspek adalah seorang lelaki tempatan dan mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan bunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.

Beliau berkata, suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Subang Jaya bagi siasatan lanjut berhubung kejadian samun yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh masa terdekat.

"Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kejadian ini, boleh disalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 6:25 PM