MUHAMMAD Shafil.
MUHAMMAD Shafil.
MAS Imran (tiga dari kanan) menawarkan baucar membeli-belah RM1,000 bagi membeli kelengkapan Aidilfitri  di Pasar raya Econsave Pasir Gudang.
MAS Imran (tiga dari kanan) menawarkan baucar membeli-belah RM1,000 bagi membeli kelengkapan Aidilfitri di Pasar raya Econsave Pasir Gudang.
Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: “Ibu mahu beri upah tapi adik tidak mahu kerana tahu ibu susah,” kata Muhammad Shafil Abdullah, 12, yang layak digelar ‘hero cilik’ apabila membantu ibunya menjaja kuih karipap dengan turun naik lima blok bangunan flat lima tingkat dua kali setiap hari bagi menyara lapan beradiknya.

Muhammad Shafil yang juga bakal calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tidak menjadikan alasan peperiksaan bakal diduduki itu untuk duduk di rumah, sebaliknya memastikan dirinya membawa pulang RM30 setiap hari untuk meneruskan perniagaan ibunya itu.

Malah, dia yang tinggal di Flat Air Biru, di sini, sanggup menggalas tanggungjawab membantu ibunya, Suraya Ahmad, 43, untuk menjual 30 bungkusan karipap pada setiap hari bagi menyara keluarganya itu.

Muhammad Shafil berkata, selepas pulang dari sekolah, dia berehat seketika sebelum memulakan aktiviti menjual kuih-muih.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, setiap hari, dia akan menjalankan aktiviti berkenaan mulai jam 4 hingga 6 petang dan kebiasaannya, dia turun naik lima blok bangunan flat lima tingkat sebanyak 10 kali untuk menjaja kuih itu.

“Kaki adik lenguh dan sakit terutama apabila turun naik blok ketiga hingga kelima namun adik hanya berehat sebelum meneruskan aktiviti jualan.

“Adik ketuk rumah dan tanya ‘cik mahu beli kuih’ dan adik juga sudah memiliki beberapa pelanggan tetap,” katanya.

Muhammad Shafil berkata, dia hanya mampu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam bersama adik-beradiknya.

“Saya memastikan dapat membawa pulang RM30 hasil jualan semua bungkusan karipap itu,” katanya.

Kesusahan keluarga Suraya mendapat perhatian daripada Pasaraya Econsave yang menawarkan baucar membeli-belah RM1,000 bagi membeli kelengkapan Aidilfitri.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menjejaki keluarga berkenaan selepas menemui kanak-kanak itu menjual karipap di kawasan Taman Air Biru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 10:13 AM