FOTO Nur Zulaikha yang tular di laman sosial.
FOTO Nur Zulaikha yang tular di laman sosial.
SYED Ahmad dan Zainab membawa Nur Zulaikha ketika berniaga sate.
SYED Ahmad dan Zainab membawa Nur Zulaikha ketika berniaga sate.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pasangan suami isteri di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, terpaksa membawa bayi perempuan mereka yang berusia 11 bulan ke gerai menjual sate hampir setiap malam dalam usaha menambah sumber kewangan bagi menampung kos rawatan bayi berkenaan yang mempunyai masalah lebihan cecair dalam kepala.

Syed Ahmad Syed Mohd Shahbudin, 33, dan isteri, Zainab Abdul Jalil, 33, terpaksa membawa Sharifah Nur Zulaikha ke gerai sate yang diusahakan berdekatan sebuah bank di Bandar Baru Permas Jaya berikutan tiada sesiapa untuk menjaganya ketika mereka keluar berniaga.

Menurut pekerja kontrak itu, dia terpaksa berniaga sate dibantu isteri untuk mencari pendapatan tambahan bagi menampung kos rawatan anaknya sebanyak RM700 sebulan.

“Pendapatan sebagai pekerja kontrak RM1,500 tidak mencukupi apatah lagi hanya saya yang bekerja kerana isteri perlu memberi penjagaan sepenuhnya ke atas anak.

“Pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari dengan menjual sate dapat menampung perbelanjaan perubatan anak kami serta bayaran lain seperti sewa rumah dan bil utiliti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Syed Ahmad berkata, dia bersyukur kerana gerai sate yang diusahakan menjadi perhatian ramai dan dia tidak menafikan ia rezeki anak syurganya.

“Saya memulakan perniagaan ini selepas ada rakan yang juga pembekal sate memberi cadangan supaya menambah pendapatan keluarga memandangkan saya mempunyai anak yang memerlukan rawatan.

“Saya bersyukur isteri turut membantu di gerai dan kami gigih mengusahakan perniagaan demi menampung perbelanjaan perubatan serta keperluan anak kami,” katanya sambil menambah orang ramai yang ingin membantu meringankan bebannya boleh membuat tempahan sate dengan menghubungi talian 016-2003599.

Syed Ahmad berkata, dia bersyukur semakin ramai tampil membeli sate sebagai usaha memberi semangat kepada keluarganya dalam membesarkan anak syurga.

Menurutnya, dia berniaga mulai jam 7 malam hingga awal pagi serta bergilir-gilir menjaga anak dan memastikan Nur Zulaikha tidak terdedah kepada asap.

“Nur Zulaikha yang dilahirkan 19 April tahun lalu adalah pelengkap rumah tangga kami kerana sebelum ini, kami pernah kehilangan anak pada usia 10 hari,” katanya.

Syed Ahmad berkata, masalah kesihatan anaknya dikenal pasti pada hari kelahirannya kerana ada ketumbuhan di belakang kepala dan dia mengalami masalah lebihan cecair dalam kepala.

Katanya, sejak lahir hingga kini, anaknya tidak pernah menangis dan keadaan itu mengakibatkan dia dan isteri memberinya susu mengikut masa iaitu empat jam sekali bagi mengelakkannya kelaparan.

“Nur Zulaikha seorang yang kuat semangat kerana sudah empat kali dia menjalani pembedahan termasuk pembuangan ketumbuhan, memasang tiub dan pembedahan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Malah doktor juga menyatakan dia perlu menjalani beberapa pembedahan lagi dan sebagai persiapan, kami harus memiliki simpanan bagi menampung keperluannya.

“Kami mencari rezeki halal demi anak dan harap ia diberkati Allah serta kami berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan,” katanya.

Menurutnya, hingga kini keluarganya belum memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kerana sibuk mengurus anaknya, selain berniaga.

“Sejak kisah saya dan isteri membawa anak bersama-sama ketika berniaga sate tular di laman sosial, rezeki kami bertambah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 9:37 AM