GELAGAT Mohd Redha selepas melepasi peringkat pertama Sasuke Vietnam, Mei lalu.
GELAGAT Mohd Redha selepas melepasi peringkat pertama Sasuke Vietnam, Mei lalu.
Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Dulu menang Fear Factor Malaysia pada tahun 2014, kini semakin cemerlang apabila melepasi peringkat pertama pertandingan Sasuke Vietnam atau dikenali sebagai ‘Ninja Warrior’ sehingga videonya jadi viral di Facebook (FB).

Mohd Redha Rozlan, 28, atau terkenal dengan panggilan Mat Redho menyertai pertandingan itu pada Mei lalu di Vietnam.

Dia bersama-sama 40 peserta lain dari seluruh negara layak ke peringkat kedua.

Mat Redho berkata, pertandingan itu disertai kira-kira 200 peserta termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, China dan Singapura.

Menurutnya, kejayaan melepasi peringkat pertama adalah kenangan manis buatnya.

“Oleh kerana saya suka aktiviti lasak, menyertai pertandingan ini adalah pengalaman baru bagi saya.

“Kemungkinan peringkat kedua lebih mencabar kerana memerlukan kekuatan fizikal,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut selepas menyedari videonya menjadi viral di laman sosial.

“Saya menyedari video itu viral selepas melihat ramai pengguna FB dan Instagram ‘tag’saya.

“Selepas viral, saya menerima pelbagai tawaran antaranya sebagai duta produk sama seperti ketika saya berjaya memenangi program Fear Factor terdahulu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ini kali kedua dia menyertai pertandingan lasak yang menguji ketahanan mental dan fizikal.

“Melakukan aktiviti sukan lasak adalah sebahagian daripada hobi saya. Oleh itu, saya selalu berlatih seperti ‘wall climbing’ (memanjat dinding) sebagai persediaan untuk menyertai rancangan ini,” katanya.

Menurut Mat Redho, dia ke Vietnam semata-mata untuk menyertai rancangan itu.

“Keluarga termasuk isteri dan anak banyak mendorong sehingga saya bersemangat menyertai pertandingan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:40 AM