KEADAAN kereta yang terbabas dan merempuh gerai minuman di Jalan Tengkera-Limbongan.
KEADAAN kereta yang terbabas dan merempuh gerai minuman di Jalan Tengkera-Limbongan.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang wanita mengusahakan gerai menjual minuman berhampiran Surau Nurhidayah, Jalan Tengkera-Limbongan, di sini, hampir cedera apabila nyaris dilanggar sebuah kereta dipandu remaja lelaki yang terbabas ke bahu jalan.

Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, Nur Hidayah Malega Abdullah, 49, terkedu seketika apabila melihat kereta terbabit yang hanya beberapa meter darinya merempuh meja, payung kanvas dan tiang elektrik sebelum terhumban ke dalam longkang.

Nur Hidayah berkata, dia melihat kereta terbabit terbabas dari seberang jalan dan menghala ke arah gerainya.

“Ketika itu saya bagaikan baru berselisih ajal. Saya yang duduk di kerusi di belakang meja yang disusun barangan jualan sempat bangun berundur ke belakang selepas melihat kereta itu menghala ke arah gerai.

“Saya mengigil, namun nasib baik selamat. Pada mulanya saya sangka pemandu remaja itu sudah mati kerana pada kebiasaannya pemandu kenderaan melanggar tiang elektrik akan berakhir dengan ajal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, walaupun barang jualan dan kelengkapan perniagaan miliknya rosak, namun dia bersyukur kerana pemandu Proton Iswara terbabit hanya cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:33 AM