MANGSA di tempat kejadian.
MANGSA di tempat kejadian.

Langkawi: Kegembiraan empat sahabat bercuti di pulau ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam nahas jalan raya.

Dalam kejadian jam 6.25 petang kelmarin, kereta dinaiki semua mangsa terbabas lalu merempuh tiang elektrik sebelum terbalik berhampiran Jalan Bayas-Padang Matsirat di sini.

Mangsa yang maut, VS Kamal Nishaan Raaj, 26, dikatakan dalam perjalanan menghala ke Padang Matsirat dari arah Kuah, di sini.

Seorang saksi dikenali sebagai Zainab, 45, berkata, dia yang memandu kereta seorang diri kebetulan berada di belakang kereta dinaiki empat mangsa itu.

“Kereta itu dilihat hilang kawalan lalu merempuh tiang elektrik sebelum terbalik di tengah jalan.

“Saya segera berhenti sebelum beberapa penduduk kampung datang membantu menarik mangsa keluar dari kereta itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta itu yang dipandu laju hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik di tengah jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan penumpang bahagian depan kenderaan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala. Bagaimanapun tiga rakannya termasuk pemandu terselamat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, polis kini mengambil keterangan daripada pemandu kereta berusia 25 tahun yang cedera di badan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:07 AM