Redzuan Muharam

Bangi: Menyedari adanya penggemar kuih boko ubi kayu, peniaga, Hambali Hamzah mengambil kesempatan menjual makanan tradisi Kelantan itu di Bazar Ramadan Seksyen 7 di sini.

Menariknya, Hambali, 42, dan isteri, Farah Liyana Ridzwan, 33, bukan anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang, tetapi belajar menghasilkannya dengan niat mencari rezeki sempena Ramadan ini.

Menurut Hambali, manisan diberi nama Boko Ubi Creamy itu dijual dengan harga RM3 sebekas dan menjualnya kerana yakin ramai mencarinya kerana ia salah satu makanan jarang ditemui di luar Kelantan.

"Saya berasal dari Raub, Pahang manakala isteri anak kelahiran Rembau Negeri Sembilan namun kami sama-sama belajar menghasilkan boko ubi untuk dijual di Bazar Ramadan.

"Kami gunakan ubi kayu berwarna kuning dan proses menghasilkannya memerlukan kesabaran.

"Ini kerana cara pembuatannya seperti dodol iaitu perlu dikacau lama memandangkan ia diperbuat daripada santan dan mengambil masa kira-kira empat jam untuk dihasilkan," katanya ketika ditemui di tapak bazar Ramadan Seksyen 7.

HAMBALI menunjukkan boko ubi kayu yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Seksyen 7, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
HAMBALI menunjukkan boko ubi kayu yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Seksyen 7, Bangi. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, pengunjung Muhammad Luqman Nulhakeem Roslan, 21, berkata, kedatangannya ke bazar Ramadan berkenaan adalah untuk mencari nasi lemak dan meninjau makanan lain yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa.

Katanya, sebagai pengunjung, dia akur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bersesuaian dengan keadaan negara yang masih dilanda pandemik.

"Ini kali pertama saya datang ke sini dan berdasarkan pemerhatian saya, keadaan terkawal dan tidak sesak.

"Rata-rata pengunjung serta peniaga juga mengikut SOP ditetapkan," katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini.

Seorang lagi pengunjung, Nor Shazlin Mohd Zaki, 31 dari Taman Tenaga di sini, berkata, dia berkunjung ke Bazar Ramadan Seksyen 7 kerana lokasinya yang berhampiran dengan rumahnya.

"Selain itu, banyak pilihan makanan ada di sini dan saya mencari ayam golek, laksa dan popia.

"Secara peribadi, saya berasa yakin dan selamat berkunjung ke bazar Ramadan ini kerana penganjur mengambil kira aspek keselamatan dengan meletakkan alat pengimbas suhu di laluan masuk dan kod My Sejahtera untuk diimbas oleh pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:45 AM