Husain  (kiri) bersama Eksekutif Pengurus Kandungan NSTP, Shazaliza Alin Rusli memilih pemenang peraduan mudah menang siri 1 minggu ke-4 di Balai Berita NSTP, Bangsar.
Husain (kiri) bersama Eksekutif Pengurus Kandungan NSTP, Shazaliza Alin Rusli memilih pemenang peraduan mudah menang siri 1 minggu ke-4 di Balai Berita NSTP, Bangsar.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Percubaan tanpa jemu setiausaha syarikat swasta di Port Dickson, Negeri Sembilan menghantar penyertaan Peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) setiap minggu membawa tuah apabila dipilih sebagai pemenang paling kreatif peraduan berkenaan bagi siri 1 minggu keempat, semalam.

Kejayaan itu membolehkan Nor Kamalia Ab Khalid, 32, menerima hadiah wang tunai RM1,000 selepas pemilihan dilakukan Pengarang Bersekutu (Rencana) Husain Jahit.

Muhamad Nadmin Samsudin, 37, dari Kota Damansara mendapat empat tiket ke Legoland bernilai RM900 manakala enam pemenang lain menerima wang tunai berjumlah RM500.

Mereka ialah Ira Syazana Suhaili, 21, dari Felda Kenana (7) Bandar Tun Razak, Nazeeruddin Mohd Sarjid, 33, dari Shah Alam, Razana Ghazali, 48, dari Jalan Sultan Salahuddin, Zulkifele Sofi, 45, dari Kelantan, Abd Razak M Ali, 63, dari Kuala Lumpur dan Tian Joan Sin, 35, dari Selangor.

Nor Kamalia berkata, kemenangan itu sangat bermakna dalam kehidupannya kerana dimaklumkan pada hari ulang tahun kelapan perkahwinannya.

“Saya tidak sangka kreativiti menggunakan saluran paip PVC membuat reka bentuk rak penyangkut pakaian dipilih sebagai pemenang.

“Walaupun peraduan siri sebelum ini tidak menang, saya tidak pernah berputus asa, malah terus menghantarnya kerana percaya satu hari rezeki kemenangan berpihak kepada saya seperti hari ini (semalam),” katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan reka bentuk terbabit yang dipadankan dengan slogan informasi terkini, edisi padat, hiburan seimbang menepati cita rasa pembaca global.

“Saya tidak mempunyai perancangan lain dengan wang kemenangan ini melainkan digunakan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Insya-Allah saya akan terus aktif menyertai peraduan anjuran akhbar ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Husain berkata, penyertaan paling kreatif bertambah dan slogan yang dihasilkan peserta juga lebih baik berbanding sebelum ini sehingga menyukarkan juri untuk membuat pemilihan.

Katanya, jumlah penyertaan kali ini meningkat kepada 4,000 dan masih ada dua minggu lagi sebelum peraduan itu tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 10:18 AM