GUAN menunjukkan dadah yang dirampas.
GUAN menunjukkan dadah yang dirampas.

Georgetown: Di sebalik kerja mereka sebagai penjual kereta dan peniaga kedai makan, dua lelaki dikesan mencari pendapatan sampingan mengedar ganja di Pulau Pinang dan Perak.

Bagaimanapun, aktiviti mereka terbongkar selepas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman melakukan serbuan di rumah teres dua tingkat di Kepala Batas, dekat sini, Rabu lalu dan merampas 59 ketulan mampat ganja seberat 58.8 kilogram (kg) bernilai RM207,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Guan Beng Kang berkata, dalam serbuan pertama jam 12.10 tengah hari itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga penjual kereta.

Beliau berkata, susulan serbuan itu, polis menahan rakannya berusia 58 tahun dan bekerja sebagai peniaga kedai makan di Trong, Perak dan mereka didapati bersekongkol menjadi pengedar ganja di negeri masing-masing.

“Hasil siasatan kami mendapati sindiket pengedaran ganja ini sudah enam bulan beroperasi dan kami percaya mereka mendapat bekalan yang diseludup dari negara jiran.

“Mereka mungkin mahu mencari mengaburi mata orang ramai dengan berselindung di sebalik kerjaya masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:09 AM