Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman merampas lebih 207,000 pil eramin 5 di Kampung Baru, di sini, susulan serbuan yang dilakukan ke atas makmal memproses dadah itu di Pandan Indah, Ampang, semalam.

Difahamkan lelaki berusia 32 tahun ditahan di pintu masuk kondominium mewah sebelum pemeriksaan dibuat di kereta dinaikinya.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan di kenderaan dipercayai milik suspek STING merampas 10 kotak mengandungi pil eramin 5 sebelum serbuan di kediaman mewah disyaki didiami lelaki terbabit dilakukan dan polis menemui 16 bungkusan yang mengandungi serbuk kuning dipercayai dadah.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya STING merampas lebih 207,000 pil eramin 5 di Kampung Baru di sini, selepas serbuan di Pandan Indah, Ampang.

"Syabas lagi STING @PDRMsia dalam tindakan susulan, rampas lebih 207,000 pil eramin 5 lagi di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Go PDRM Go," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 1:22 PM