IKAN yang ditangkap dibakar untuk dinikmati bersama.
IKAN yang ditangkap dibakar untuk dinikmati bersama.
PENDUDUK kampung bergotong-royong menyiang ikan yang diperoleh.
PENDUDUK kampung bergotong-royong menyiang ikan yang diperoleh.
PESERTA mengharung sungai untuk menghambat ikan ke muara.
PESERTA mengharung sungai untuk menghambat ikan ke muara.
PESERTA memukul air menggunakan kayu untuk menghalau ikan ke muara sungai.
PESERTA memukul air menggunakan kayu untuk menghalau ikan ke muara sungai.
Nazdy Harun

Hulu Terengganu: Tradisi mengerau atau menghambat ikan sudah wujud ratusan tahun lalu, namun aktiviti itu mungkin asing bagi segelintir individu.

Bagaimanapun, di daerah ini, aktiviti itu menjadi acara tahunan yang popular bagi penduduk setempat terutama pada musim kemarau.

Paras air sungai yang mulai cetek memudahkan penduduk setempat melakukan aktiviti menangkap ikan terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lubuk ikan di sepanjang Sungai Berang, di sini.

Kini, acara menghambat ikan menjadi pesta wajib dan semakin dikenali, selain rancak dianjurkan pelbagai jabatan dengan kerjasama penduduk setempat untuk merasai sendiri pengalaman serta kemeriahan menjalankan aktiviti dalam komuniti itu.

Penduduk Kampung Pengkalan Ajal, Zulkifli Mohamad, 48, berkata, aktiviti berkenaan biasanya dilakukan secara berkumpulan dalam jumlah lebih 30 orang yang dikenali sebagai ngerau (mengerau) dan caranya ialah mengacau kawasan lubuk ikan.

Sebelum itu, pukat sepanjang 30 meter perlu dipasang di bahagian muara sungai yang cetek dan tebing berpasir manakala pada hujung pukat dinamakan ‘bunuhan’ iaitu tempat terakhir ikan tersangkut pada pukat selepas dihambat di bahagian hulu sungai.

Mengikut tradisi, aktiviti menghambat ikan sebelum ini menggunakan peralatan antaranya buluh yang dibelah dua berukuran antara dua hingga tiga meter, tangguk dan jala, namun kini menggantikan buluh dengan penggunaan pukat yang dilihat lebih mudah untuk dipasang.

“Sebelum aktiviti menghambat dimulakan, individu yang terbabit dalam aktiviti itu perlu mengenal pasti lubuk ikan dan kemudiannya kumpulan tadi akan berpecah kepada dua iaitu sebagai tukang hambat dan tukang kepung.

“Tukang hambat terlebih dulu akan berada di sebelah hulu dengan jarak tertentu dan akan berjalan beramai-ramai mengikut arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air menggunakan buluh,” katanya.

Tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas supaya ikan yang sudah memasuki kawasan kepungan pukat tidak terlepas dan satu jala lain akan terus ditebarkan ke arah kumpulan ikan tersebut sebelum memungut ikan yang tersangkut pada jala.

Antara spesies ikan yang biasa diperoleh ialah sebarau, lampam dan kelah manakala jumlah ikan pula boleh mencecah 1,000 ekor sekiranya rezeki memihak kepada kumpulan mengerau berkenaan.

Biasanya ikan diperoleh disiang dan dimasak di tebing sungai secara gotong-royong dan suasana seperti itu mengeratkan persaudaraan antara penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Ghazali Taib berkata, aktiviti menghambat atau mengerau ikan tidak mengakibatkan kepupusan ikan berikutan ia dilakukan dalam tempoh singkat iaitu pada Mac hingga Jun.

“Aktiviti tuba, mengebom dan meracun boleh mengakibatkan kepupusan ikan manakala kaedah tradisional dilakukan seperti menghambat ini tidak mendatangkan kepupusan berikutan dalam tempoh tiga bulan, hanya beberapa kali saja ia dilakukan,” katanya.

Pesta menghambat ikan amat unik dan boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan memandangkan daerah Hulu Terengganu, mempunyai jaringan sungai yang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 9:40 AM