Fadillah Yusof.
Fadillah Yusof.
myMetro

Putrajaya: “Berdasarkan apa (maklumat) yang kami dapat dari lapangan, maklum balas daripada rakyat kita sangat positif terhadap (kemenangan) BN,” kata Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof.

Malah, beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan memberi kesan terhadap rakyat yang akan mengundi pada pilihan raya negeri kelak.

Menurutnya, secara umum rakyat Sarawak gembira dengan apa yang sudah dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem selama ini.

“Bagi saya apa saja isu (yang timbul) termasuk 1MDB tidak akan memberi kesan yang banyak kepada pilihan raya negeri.

“Yang penting adalah apa yang Perdana Menteri dan Ketua Menteri sudah lakukan kepada rakyat Sarawak, dan mereka juga sangat berpuas hati,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Penyampai Projek (PDP) untuk mengurus dan melaksanakan pembinaan 706 kilometer (km) Lebuhraya Pan Borneo Sabah di sini, semalam.

Fadillah berkata, jentera BN bersedia menghadapi pilihan raya bagi memastikan kemenangan besar kepada parti berkenaan terutama dari pihak Armada Pemuda BN yang kini sudah bergerak ke seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:37 AM