FADILLAH (tengah) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi menemui barisan kepimpinan negeri hari ini. FOTO Bernama.
FADILLAH (tengah) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi menemui barisan kepimpinan negeri hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan semua perkara berbangkit berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Justeru, Fadillah berkata, beliau akan memberi fokus kepada isu itu dan akan membincangkannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Malah katanya, beliau sudah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali untuk mendapatkan input daripada kerajaan Sabah mengenai perkara sama.

"Saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menyelesaikan segala tuntutan di dalam MA63 dalam tempoh sebulan.

"Sudah tentu ianya menjadi tumpuan utama saya untuk dibincangkan dengan kerajaan Sarawak dan Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekembalinya dari ibu negara, hari ini.

Fadillah berkata, semua perkara berbangkit mengenai MA63 yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan akan beliau usaha selesaikan segera.

"Mungkin ada juga beberapa perkara yang perlu dibawa ke parlimen untuk mendapatkan kelulusan kita akan bawa ke Dewan Rakyat," katanya.

Fadillah bersama empat Menteri Persekutuan dari Sarawak pulang ke Kuching mengadakan perjumpaan dengan Abang Johari.

Menurutnya, perjumpaan yang dijadual petang ini diadakan bagi mendapatkan fokus yang harus ditumpukan mereka untuk Sarawak.

Selain Fadillah, tiga lagi menteri dari Sarawak yang mengadakan perjumpaan dengan Abang Johari ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, bagaimanapun tidak dapat turut serta dalam kunjungan hormat itu kerana perlu menghadiri taklimat semua agensi di bawah kementeriannya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Fadillah lagi kunjungan hormat itu juga adalah bagi mendapatkan panduan daripada kepimpinan tertinggi di Sarawak dan perhatian khusus untuk Sarawak yang perlu mereka laksanakan sebagai menteri di dalam Kabinet Persekutuan.

"Selain itu, tujuan kunjungan hormat itu juga adalah untuk diberi taklimat berhubung kait dengan status Kerajaan Perpaduan dan bagaimana peranan GPS di peringkat Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:32 PM