SEBAHAGIAN mangsa yang selamat selepas hanyut tujuh jam.
SEBAHAGIAN mangsa yang selamat selepas hanyut tujuh jam.
Junaidi Ladjana


Kudat: Empat nelayan tempatan berusia 24 tahun hingga 34 tahun hanyut hampir tujuh jam selepas enjin bot dinaiki rosak sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran pulau Balambangan, dekat sini, jam 4 petang kelmarin.

Bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin, jam 10 pagi hari yang sama sebelum hanyut sejauh dua batu nautika dari lokasi asal.

Pengarah APMM Kota Kinabalu Laksamana Pertama (M) Adam Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada individu dikenali sebagai Adam Junaidi yang mengirim SMS kepada pihaknya.

“Seorang daripada anggota kami menerima SMS mendakwa bot terbabit rosak di lokasi berkenaan. Pengadu mendakwa menerima SMS daripada rakannya di dalam bot yang memintanya mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa.

“Pengadu memanjangkan pesanan itu kepada kami sebelum dua bot ronda dikerah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). Tugas berkenaan turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya ketika dihubungi.

Menurut Adam, pihaknya dapat mengesan kedudukan bot berkenaan dua batu nautika dari lokasi asal ia berada dan pemeriksaan mendapati semua individu dalam bot itu dalam keadaan baik.

Katanya, bot nelayan ini ditunda ke jeti awam Kudat untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, jam 10 malam Selasa lalu, APMM menyelamatkan seorang lelaki selepas bot dinaikinya hanyut ketika keluar memancing berhampiran Tanjung Bangau.

“Kami mengesan kedudukan mangsa 1.8 batu nautika dari lokasi dilaporkan hilang dan dia kemudiannya dibawa ke jeti awam Kudat.

“Saya mengingatkan semua nelayan dan pengusaha bot pancing supaya mengambil langkah keselamatan termasuk memastikan bot dikendali berada dalam keadaan baik bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika berada di laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 10:08 AM