BOT pam yang membawa dua lembu dan enam kambing dirampas untuk siasatan lanjut.
BOT pam yang membawa dua lembu dan enam kambing dirampas untuk siasatan lanjut.
DUA lembu dan enam kambing yang dirampas    APMM Kudat dalam Operasi Khas di perairan Balambangan, semalam.
DUA lembu dan enam kambing yang dirampas APMM Kudat dalam Operasi Khas di perairan Balambangan, semalam.

Kudat: Penahan sebuah bot pam oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat di perairan Balambangan, dua batu nautika dari Telok Long, dekat sini, Khamis lalu membawa kepada penemuan mengejutkan apabila antara ‘penumpangnya’ adalah dua ekor lembu dan enam ekor kambing yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Filipina.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kudat Leftenan Komander Maritim Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata, bot itu ditahan pada jam 10 malam ketika bot kilat APMM Kudat melakukan Operasi Khas di kawasan perairan Balambangan, dekat sini.

“Anggota APMM mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Mansee Filipina ke Kudat sebelum menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua ekor lembu dan enam ekor kambing yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Filipina di ruang hadapan bot itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui 30 tong minyak kosong yang dipercayai digunakan untuk menyeludup bahan bakar ke negara jiran.

“Tekong dan dua awak-awak bot berusia 17 hingga 36 tahun tiada pengenalan diri yang sah.

“Mereka ditahan, lembu serta kambing dan tong minyak dirampas, manakala bot digunakan ditunda ke Jeti Awam Kudat untuk pemeriksaan lanjut dan diserahkan kepada unit siasatan APMM Kudat,” katanya.

Mohd Hafidz berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Haiwan 1952.

Katanya, sebarang aktiviti yang dilakukan oleh pengusaha bot mestilah mengikut syarat sah lesen yang dikeluarkan.

“Kegiatan menyeludup haiwan dikuatiri akan menjadi vektor penyebar virus merbahaya kepada ternakan tempatan kerana haiwan itu tidak melalui saringan yang sepatutnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

“Semua pengusaha bot diingatkan supaya jangan hanya mementingkan keuntungan perniagaan sehingga mencabuli undang-undang negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:17 AM